
![]()
KLANG – Akta Keterjaminan Makanan Negara yang bertujuan memperkukuh jaminan bekalan serta keterjaminan makanan negara dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu berkata, perincian mengenai akta berkenaan kini sedang dimuktamadkan sebelum dibawa untuk kelulusan.
“Kita sedang menggubal akta tersebut dan perkara berkaitan keterjaminan makanan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
“Insya-Allah, akta ini akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan program Road To Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Kompleks Pandamaran di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan penggubalan akta tersebut perlu disegerakan susulan ancaman fenomena El Nino dan perubahan iklim yang berisiko mengancam sektor pengeluaran makanan tempatan.
Akta itu berupaya memastikan negara mempunyai sistem amaran awal, pelan kesiapsiagaan automatik serta mekanisme penyaluran bantuan yang lebih berkesan kepada sektor pengeluaran makanan.
Mengulas mengenai MAHA 2026, Mohamad memaklumkan ia bakal dimeriahkan dengan penyertaan peserta luar negara
termasuk Brazil, China, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Hungary dan Wilayah Guangxi.
“Insya-Allah MAHA akan berjalan dengan baik dengan penyertaan luar negara pada tahun ini agak meningkat. Uzbekistan, mereka kata akan hadir dan beberapa negara yang lain (yang masih menunggu pengesahan penyertaan).
“Ini pertama kali disertai luar negara kerana macam saya sebut tadi, soal makanan ini, ia agak berkaitan satu sama lain. Sebab kadangkala berlaku malapetaka kepada satu negara, negara lain akan membantu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Akta Keterjaminan Makanan Negara dibentang tahun depan appeared first on Kosmo Digital.
