Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Golongan orang bekerja sendiri (OBS) berpeluang menikmati pengurangan caruman sebanyak 50 peratus menerusi inisiatif KENDIRI Padanan50 2026 yang diketengahkan pada Festival Mega iLINDUNGu yang berakhir hari ini.
Menerusi inisiatif itu, OBS yang layak hanya perlu membayar RM116.40 berbanding jumlah penuh RM232.80 bagi Pelan 2 LINDUNG Kendiri, manakala baki RM116.40 ditanggung kerajaan.
Bayaran berkenaan melayakkan OBS mendapat perlindungan keselamatan sosial selama 12 bulan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Festival Mega iLINDUNGu anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berlangsung selama tiga hari sejak 18 September menjadi platform untuk orang ramai mendapatkan maklumat serta perkhidmatan berkaitan perlindungan sosial, termasuk inisiatif khas untuk golongan bekerja sendiri.
Inisiatif KENDIRI Padanan50 2026 dilaksanakan susulan pengumuman dalam Belanjawan MADANI 2026 dan berkuat kuasa mulai 6 April 2026.
KENDIRI Padanan50 2026 terbuka kepada OBS yang memperbaharui caruman LINDUNG Kendiri dalam sektor bukan mandatori di bawah Pelan 2.

Antara sektor terbabit ialah pertanian, penternakan, perhutanan, perikanan, pembuatan, pembinaan, makanan, premis penginapan, perniagaan dalam talian, teknologi maklumat dan pemprosesan data.
Ia turut meliputi perkhidmatan profesional, perkhidmatan sokongan, kesenian, ejen, perkhidmatan isi rumah serta penjagaan, perawatan dan pemulihan kesihatan.
Pemohon mestilah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap tanpa mengira had umur, bekerja sepenuh atau separuh masa dan menjalankan pekerjaan sendiri di Malaysia.
OBS juga mestilah belum pernah mendaftar di bawah Inisiatif Belanjawan 2026, dengan setiap individu hanya layak menerima satu inisiatif di bawah Belanjawan 2026.
Pemohon inisiatif ini hanya perlu menyediakan dokumen sokongan termasuk salinan kad pengenalan dan mengemukakan sebarang dokumen pembuktian berkaitan pekerjaan sendiri yang dijalankan.
Selain itu, pemohon juga perlu mengemukakan surat pengesahan pekerjaan daripada agensi atau pihak berkuasa berkaitan tertakluk kepada jenis sektor.
Sebanyak 11 kategori kumpulan sasaran ditetapkan iaitu KENDIRI Agro 2026, KENDIRI Lain Upaya 2026, KENDIRI Asal 2026, KENDIRI Seni 2026, KENDIRI Sukan 2026 dan KENDIRI Didik 2026.
Turut termasuk KENDIRI Servis 2026, KENDIRI Pelancongan 2026, KENDIRI Pemimpin Masyarakat 2026, KENDIRI Pekhidmat Rumah Ibadat dan KENDIRI Sukarelawan 2026.
Dengan caruman RM116.40 itu, pencarum layak menikmati antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat.
Perlindungan turut merangkumi kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional.
Permohonan dan bayaran boleh dilakukan di Portal Prihatin, aplikasi Prihatin PERKESO, kaunter pejabat PERKESO berdekatan serta ejen korporat atau ejen individu LINDUNG Kendiri yang sah dilantik PERKESO.
Bagi OBS yang pertama kali ingin mencarum dengan LINDUNG KENDIRI juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati manfaat diskaun caruman sebanyak 70 peratus menerusi inisiatif KENDIRI Padanan70. – KOSMO! ONLINE
The post Golongan OBS diberi diskaun caruman 50% di Festival Mega iLINDUNGu appeared first on Kosmo Online.
