Auto Added by WPeMatico

![]()
KUANTAN: Pahang merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi di Pantai Timur sebanyak 65.3 peratus bagi suku pertama 2026, dengan kadar pengangguran kekal rendah pada paras 1.9 peratus.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Akhbar Firdaus Khan berkata, pencapaian itu sekali gus mencerminkan pertumbuhan ekonomi negeri yang terus kukuh, didorong oleh perkembangan sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan perlombongan.
Menurutnya, dalam landskap ekonomi yang semakin dinamik, kejayaan sesebuah negeri bukan lagi diukur berdasarkan jumlah peluang pekerjaan semata-mata, sebaliknya sejauh mana peluang itu dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Matlamat itu diperkasakan menerusi Portal MYFutureJobs yang berfungsi sebagai ekosistem pekerjaan nasional bagi menghubungkan rakyat, majikan dan kerajaan secara lebih pintar, inklusif serta berkesan.
“Aspirasi Kerajaan Madani adalah memastikan setiap anak Pahang mempunyai akses kepada peluang pekerjaan yang bersesuaian tanpa mengira ‘okasi, sama ada di bandar mahupun luar bandar, melalui padanan pekerjaan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (Al).
“Penggunaan Al membolehkan pencari kerja dipadankan dengan jawatan yang sesuai berdasarkan kemahiran, pengalaman, kelayakan dan potensi individu, sekali gus meningkatkan ketepatan padanan pekerjaan serta menjamin kelestarian kerjaya,” katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs Indera Mahkota di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini.
Tambah Khairul Akhbar, penganjuran karnival tersebut merupakan pendekatan strategik yang selari dengan Agenda Pahang 2030, Pelan Induk Ekonomi Pahang 2025-2030 serta aspirasi Kerajaan Madani dalam memperluaskan peluang pekerjaan berkualiti.
Jelasnya, sepanjang tempoh 2023 hingga 24 Julai 2026, seramai 26,877 pencari kerja di Pahang berjaya memperoleh pekerjaan menerusi platform MYFutureJobs hasil pelbagai inisiatif pasaran buruh yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Dalam tempoh sama, Perkeso menganjurkan 1,277 program temu duga dan karnival kerjaya di seluruh Pahang, selain merekodkan lebih 10,000 kekosongan jawatan yang diiklankan melalui Portal MYFutureJobs dengan penyertaan 11,857 pencari kerja berdaftar pada 2026.
“Karnival Kerjaya MYFutureJobs Indera Mahkota menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan melibatkan 30 majikan daripada pelbagai industri, sekali gus memberi ruang kepada pencari kerja mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan dan pengalaman,” katanya. – UTUSAN
The post Pahang catat penyertaan tenaga buruh tertinggi di Pantai Timur, MYFutureJobs terus perluas akses pekerjaan di Pahang appeared first on Utusan Malaysia.

