Auto Added by WPeMatico

![]()
TAMPIN – Keterujaan seorang wanita menjalankan perniagaan kostum merdeka bukan sahaja membawa keuntungan, malah dia menjadi terkenal hingga mempunyai ramai pelanggan termasuk di Melaka.
Che Rabita Abdul Rahman atau Mama Bit, 65, berkata, pakaian Jalur Gemilang, kostum dan busana tradisional hasil gubahannya mendapat permintaan tinggi dan kerap digunakan untuk pertandingan, persembahan dan pelbagai program sambutan kemerdekaan.
Katanya, dia tidak sangka perniagaannya bertahan hingga sekarang.
“Sebelum PKP saya buat andaman dan busana pengantin dan lepas PKP, ramai pula mahu lebih patriotik.
“Mereka mencari pakaian untuk anak-anak menyertai pertandingan kemerdekaan. Saya kini mempunyai hampir 100 kostum pelbagai saiz untuk disewa bertemakan Jalur Gemilang dan busana tradisional,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Che Rabita, pelanggannya bukan sahaja dari Tampin, malah dari Gemencheh, Gemas, Kuala Pilah, Melaka, Seremban, Senawang dan Rembau.
Tambahnya, antara pakaian tradisional yang mendapat permintaan ialah set songket dengan sewa antara RM50 hingga RM250 mengikut permintaan.
“Saya turut mengajar peserta pertandingan cara berjalan di atas pentas dan menggayakan pakaian dengan betul, tanpa mengenakan bayaran tambahan supaya mereka boleh menang,” katanya yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur. -KOSMO! ONLINE
The post Sentuhan magis Mama Bit appeared first on Kosmo Digital.
