Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Kira-kira 60 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dianggarkan berpotensi mencapai tahap simpanan asas sekitar RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang tahun 2030.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, setakat tahun lalu, seramai 3.1 juta atau 41.2 peratus ahli sektor formal warga Malaysia berumur antara 18 hingga 55 tahun telah mencapai tahap simpanan asas.
“Angka itu menunjukkan masih terdapat 4.42 juta atau 58.8 peratus ahli sektor formal warganegara yang belum mencapai tahap simpanan minimum yang disasarkan bagi memastikan kecukupan simpanan apabila bersara.
“Kerajaan melalui KWSP komited mengawal hakisan simpanan asas akibat pengeluaran awal dengan memperkenalkan penanda aras RIA iaitu `Retirement Income Adequacy’,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ng Keng Heng berhubung anggaran kerajaan mengenai peratusan warga negara yang dijangka tidak mencapai tahap simpanan minimum menjelang umur persaraan.
Amir Hamzah berkata, RIA berfungsi sebagai panduan kecukupan simpanan persaraan bagi membantu ahli menilai kedudukan simpanan mereka sebelum membuat keputusan pengeluaran, sekali gus menggalakkan perancangan kewangan jangka panjang yang lebih berhemah.
Pada masa sama, katanya, pelbagai langkah untuk memperkukuh simpanan terus dilaksanakan termasuk penstrukturan akaun KWSP yang merangkumi pengenalan Akaun Fleksibel, galakan caruman sukarela serta promosi lebih aktif melibatkan inisiatif seperti i-Saraan dan kemudahan tambah nilai simpanan.
Tambah beliau, KWSP juga mempergiat kempen kesedaran bagi menggalakkan ahli supaya tidak membuat pengeluaran penuh atau secara sekali gus yang boleh menjejaskan pendapatan semasa persaraan, sebaliknya memilih opsyen pengeluaran secara bayaran bulanan.
Amir Hamzah berkata pendekatan itu penting bagi memastikan simpanan persaraan dapat bertahan lebih lama dan memberi manfaat berterusan kepada pencarum selepas mereka menamatkan tempoh pekerjaan.
“Kerajaan mahu memastikan ahli mempunyai sumber pendapatan yang lebih mampan selepas bersara, dan pada masa yang sama menggalakkan mereka mengekalkan simpanan lebih lama dalam akaun persaraan agar manfaat dividen dapat terus dimaksimumkan,” katanya.
Beliau berkata usaha itu juga selaras dengan matlamat jangka panjang untuk meningkatkan tahap keselamatan kewangan rakyat pada usia persaraan. – KOSMO! ONLINE
The post 60 peratus ahli KWSP dijangka capai simpanan asas RM390,000 apabila bersara appeared first on Kosmo Digital.



