Auto Added by WPeMatico

PENYAKIT jantung iskemia merupakan punca utama kematian di Malaysia pada tahun 2024. Ia merangkumi 17,421 kematian atau 13.0 peratus daripada kematian yang disahkan menurut Jabatan Perangkaan Malaysia sekali gus menekankan kepentingan pendidikan mengenai kesihatan jantung.
Menjelang Hari Jantung Sedunia pada 29 September ini, LAC Malaysia baru-baru ini menganjurkan satu sesi kesihatan menerusi LAC Community yang menghimpunkan pakar perubatan dan pakar nutrisi untuk meneroka bagaimana tabiat harian, daripada tidur hingga diet boleh menyokong kesihatan jantung.
Satu perkara yang turut diketengahkan adalah salah faham umum bahawa masalah jantung sentiasa hadir dengan gejala sakit dada.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi Prince Court Medical Centre, Dr. Beh Ting Yuen, ramai pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga keadaan menjadi serius.
“Selain sakit dada, ada beberapa tanda lain yang tidak wajar diabaikan, termasuk pengsan atau rebah ketika melakukan aktiviti fizikal yang boleh menunjukkan masalah rentak jantung tidak normal serta sejarah kematian mengejut dalam kalangan ahli keluarga lebih muda.
“Tidur yang tidak berkualiti juga boleh menjejaskan kesihatan jantung dalam cara yang tidak kita sedari.
“Contohnya, sleep apnea sering dikaitkan dengan obesiti dan boleh menyebabkan paras oksigen menurun secara berulang, sekali gus memberikan tekanan tambahan kepada jantung dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambahnya, terdapat kepercayaan umum bahawa kita boleh menggantikan tidur pada hujung minggu, tetapi tidur bukan seperti pinjaman yang boleh ‘dibayar’ kemudian.
Ujarnya, apa yang lebih penting adalah mendapatkan rehat yang konsisten dan berkualiti.

Katanya, ramai tidak menyedari betapa pentingnya hubungan antara tidur dengan kesihatan jantung.
Sementara itu, Pakar Perunding Nutrisi LAC Malaysia, Cynthia Jetan berkongsi bagaimana tidur dan nutrisi saling melengkapi dalam menyokong kesihatan jantung.
“Nutrisi seperti bahan api dan tidur pula sebagai masa untuk pemulihan.
“Kita memerlukan sumber tenaga yang baik untuk menjalani hari, tetapi kita juga perlu memberi tubuh masa untuk berehat dan pulih.
“Ia seperti sebuah kereta, walaupun menggunakan bahan api yang bagus, enjinnya tetap memerlukan rehat.
“Bagi kesihatan jantung, apa yang kita ambil dan sejauh mana tubuh kita pulih kedua-duanya penting,” ujarnya.
Beliau turut menerangkan peranan khusus minyak ikan, CoQ10 dan antioksidan dalam menyokong kesihatan jantung.
“Setiap satunya mempunyai peranan yang berbeza bagi menyokong kesihatan jantung kita.
“Minyak ikan membekalkan omega-3 yang membantu mengekalkan paras trigliserida yang sihat.
“CoQ10 pula menyokong tenaga pada peringkat sel yang sentiasa diperlukan oleh jantung, manakala antioksidan bertindak seperti pasukan pertahanan terhadap kesan kemerosotan yang berlaku setiap hari,” jelasnya.
Sempena Hari Jantung Sedunia, Cynthia menitipkan pesan kepada rakyat Malaysia agar membuat perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten.
Antara perubahan yang boleh dibuat adalah mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan serat, memilih lemak lebih berkualiti, mengurangkan pengambilan makanan diproses dan tinggi garam serta mengawal saiz hidangan.
Menariknya, sesi tersebut diakhiri dengan bengkel yoga restoratif yang direka untuk membantu peserta memperlahankan rentak, melegakan ketegangan, menenangkan minda dan menyediakan tubuh untuk mendapatkan tidur nyenyak serta berkualiti.
Aliran yoga yang sesuai untuk pemula itu memberi pengalaman praktikal kepada peserta tentang bagaimana rehat mencukupi boleh menyokong kesihatan jantung.
Menerusi inisiatif seperti bengkel Hari Jantung Sedunia di bawah LAC Community, LAC Malaysia terus menyediakan pengalaman kesejahteraan yang mudah diakses dengan menggabungkan perkongsian ilmu daripada pakar dan pendekatan gaya hidup praktikal.
The post Penyakit jantung tak semestinya hadir dengan sakit di dada appeared first on Kosmo Online.
