Auto Added by WPeMatico

![]()
JAKARTA – Seorang wanita berusia 44 tahun meninggal dunia setelah ditelan oleh seekor ular sawa gergasi sepanjang 7.8 meter di wilayah Maluku Utara, Indonesia, lapor laman berita MS News.
Kejadian berlaku pada 9 Jun lalu. Suami mangsa, Elisabet Yamalau, cuba memotong kepala ular itu untuk menyelamatkannya tetapi sudah terlambat.
Menurut laman berita Detik, Yamalau pergi ke kebun seorang diri pukul 3.20 petang (waktu tempatan) untuk memindahkan lembu mereka.
Dengan rumah mereka terletak hanya 300 meter, suaminya, Benyamin Lanto mula bimbang apabila mangsa tidak pulang selepas beberapa jam.
Lanto kemudian menuju ke kebun untuk mencari isterinya.
Dia bukan sahaja ternampak ular sawa gergasi, malah lelaki itu juga mendapati isterinya sedang ditelan oleh reptilia itu.
“Melihat kejadian itu, suaminya segera cuba menyelamatkan mangsa dengan memotong kepala ular menggunakan peralatan yang ada,” kata Ketua Polis Pulau Taliabu, AKBP Adnan Wahyu Kashogi.
Lanto menarik badan isterinya daripada mulut dan lilitan ular itu, namun usahanya sudah terlambat.
“Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Adnan.
Pada pukul 9 malam, Lanto meminta bantuan penduduk kampung untuk mengeluarkan mayat isterinya.
Berikutan insiden itu, pihak polis menggesa penduduk untuk sentiasa berwaspada apabila pergi ke kebun mereka. – AGENSI .
The post Isteri mati ditelan ular sawa gergasi appeared first on Kosmo Digital.

