Auto Added by WPeMatico

SENI tradisional wayang kulit merupakan antara warisan budaya terunggul di rantau Nusantara yang terbukti berupaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
Meskipun kesenian ini lazimnya dipelopori oleh golongan lelaki, kini wujud sebuah gabungan unik yang memecah tradisi tersebut secara berani.
Melalui penubuhan kumpulan Wayang Women, seni warisan ini diterokai secara kreatif menerusi pembentukan sebuah kumpulan yang dianggotai sepenuhnya oleh golongan wanita.
Menurut Pengasas Kumpulan Wayang Women, Illya Sumanto, penubuhan ini didorong oleh keinginan untuk mewujudkan ruang gabungan muzik tradisi khusus buat wanita.
“Ketika saya menjalani latihan bersama guru saya iaitu Pak Dain dan barisan pemuziknya dahulu, timbul rasa kekok serta terpencil kerana saya merupakan satu-satunya wanita di situ.
“Jadi melalui pengalaman tersebut yang melahirkan impian dalam diri saya untuk menubuhkan sebuah kumpulan yang dianggotai sepenuhnya oleh golongan wanita agar kami dapat bermain muzik bersama-sama,” kata Illya ketika dihubungi K-Wanita.
Langkah luar biasa ini bahkan menyatukan pemuzik dan artis persembahan wanita dari pelbagai negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam satu kumpulan.
Mereka berjaya mempersembahkan karya di pelbagai pentas berskala besar.

Terbaharu, mereka berjaya menyuarakan isu-isu komuniti terpinggir menerusi persembahan di hadapan kira-kira 6,000 penonton di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Mei lalu.
Apresiasi seni Wayang Women tidak hanya bertumpu kepada persembahan visual, tetapi turut melibatkan kerjasama dinamik antara kekuatan fizikal, ketelitian artikulasi bayang dan sebuah emosi wanita.
Antara aktiviti utama Wayang Women adalah tertumpu kepada perbincangan mendalam mengenai isu-isu sosial yang bakal diangkat ke atas pentas persembahan.
Keunikan kumpulan ini terserlah apabila aktiviti perancangan persembahan dan gubahan muzik terpaksa dijalankan secara dalam talian menerusi panggilan video berikutan kesemua ahli menetap di negara yang berbeza-beza.
Namun, setiap kali peluang berhimpun secara fizikal di sesuatu lokasi, aktiviti mereka dimanfaatkan dengan latihan muzik yang sangat intensif dan sarat dengan nilai kebudayaan.
“Apabila kami jumpa secara fizikal, kami bukan sahaja memainkan muzik bersama, malah bergotong-royong menyediakan sambal serta hidangan unik mengikut budaya masing-masing sambil berbual mengenai kehidupan,” kata Illya yang berasal dari Malaysia.
Sesi yang erat dan makan bersama ini menjadi aktiviti berharga untuk mereka bertukar pengetahuan serta mengeratkan silaturahim sesama ahli.
Pembentukan keanggotaan kumpulan Wayang Women juga berlaku secara rawak menerusi rangkaian kerjasama antara penggiat seni wanita di rantau ini.
“Keanggotaan ini berlaku secara rawak dan ia membuktikan betapa kecilnya arena seni di Asia Tenggara serta menunjukkan bagaimana artis wanita masa kini dahagakan kolaborasi,” jelasnya.
Kata Illya, Wayang Women ini adalah usaha mereka mengolah serta menceritakan semula kisah-kisah mitos serta legenda rakyat tempatan.

“Melalui penceritaan kisah hantu, kami memaparkan bahawa wanita di Asia Tenggara mempunyai lebih banyak persamaan berbanding perbezaan, terutamanya bagaimana wanita digambarkan secara negatif apabila mereka menjadi kuat dan berani,” ujarnya.
Kisah-kisah mitos dan hantu tradisional ini diteliti semula menerusi wayang kulit bagi mendedahkan bagaimana watak wanita sering didiskriminasikan untuk tujuan kawalan sosial dan hukuman.
Melalui olahan baharu ini, mereka berusaha mengubah naratif lama tersebut agar warisan cerita tempatan dapat dipelihara tanpa mengetepikan hak dan martabat wanita.
“Kisah-kisah ini memang mewujudkan budaya ketakutan, namun ia tetap hebat untuk diceritakan dan saya mahu anak-anak perempuan saya meraikan legenda atau mitos terdahulu,” katanya.
Bagi memastikan seni ini kekal relevan dengan cabaran zaman, Wayang Women memilih untuk memasukkan identiti ‘punk’ dan moden dalam persembahan mereka.
“Sama ada moden atau tradisional, wayang kulit perlu kekal relevan menerusi isu yang dibawakan, jadinya dengan memasukkan elemen kontemporari dan gaya ‘punk’ menjadikan seni ini lebih menyeronokkan,” katanya.
Menerusi pendekatan kreatif ini, mereka menyuarakan pelbagai isu kritikal seperti penentangan rasuah, keindividuan dan semangat kreativiti secara terbuka.
Sehubungan dengan itu, pendekatan ‘punk’ yang berani ini terbukti berjaya memikat penonton generasi muda yang dahagakan persembahan tradisi berasaskan pandangan kritis dan segar.
Aktiviti persembahan mereka kini semakin meluas apabila Wayang Women sedang rancak menjayakan siri jelajah mini di beberapa buah negara Eropah.
Sepanjang siri jelajah yang sedang berlangsung di Jerman, Belanda dan Belgium ini, persembahan mereka mendapat sambutan hangat sehingga tiket pertunjukan mereka habis terjual.
Keseluruhannya, aktiviti seni kumpulan wanita ini telah melepasi sempadan benua dengan kejayaan membuat persembahan di enam buah negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand.
“Impian terbesar kami pada masa hadapan adalah untuk membawa persembahan wayang kulit wanita ini sempena sambutan Día de los Muertos di Mexico,” katanya.
The post Wayang Women satukan penggiat wayang kulit wanita Asia Tenggara appeared first on Kosmo Digital.
