Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuan mereka yang berusia sembilan tahun sehingga bengkak, lebam dan berbirat selain trauma bulan lalu.
Tertuduh yang masing-masing berusia 36 dan 35 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai bapa dan ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun tiga bulan didakwa telah melakukan penganiayaan fizikal dengan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan mereka di sebuah rumah di Presint Selendang, Taman 1 Krubong, dalam daerah Melaka Tengah masing-masing pada kira-kira pukul 7 petang, 19 Julai lalu dan kira-kira pukul 2 petang 21 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit dirotan oleh ibunya, seorang suri rumah dan bapanya yang bekerja sebagai pemandu lori hanya kerana dikatakan mangsa telah menyebabkan adik lelaki berusia enam tahun menangis serta tidak kemas bilik tidur.
Rohatul membenarkan tertuduh lelaki dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala isterinya RM9,000 berserta syarat tambah yang dipohon pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini dan Muhammad Qaiyyum iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh 8 September depan sebagai sebutan semula kes serta lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE
The post Suami isteri didakwa dera anak tak kemas bilik, kacau adik appeared first on Kosmo Digital.

