Auto Added by WPeMatico

![]()
RAWANG: Ibu kepada Allahyarham Ahmad Shah Ahmad, Zulfah Fadliani menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu keluarganya sepanjang tempoh getir selepas tragedi yang meragut nyawa anaknya di Korea Selatan.
Wanita berusia 47 tahun itu berkata, sokongan dan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak memberi kekuatan kepada keluarganya untuk menghadapi ujian tersebut sehingga urusan pengebumian selesai.
Menurutnya, menantunya, Nurcahaya Ruslan, 30, yang masih berada di Korea Selatan turut menjadi sumber kekuatan sepanjang berdepan detik sukar itu.
“Nurcahaya berada dalam keadaan baik dan kami saling memberi kekuatan antara satu sama lain. Dia memberi semangat kepada saya dan saya juga memberi semangat kepadanya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, di sini malam tadi.
Katanya, Nurcahaya dijangka pulang ke tanah air sekitar September selepas menyelesaikan beberapa urusan termasuk membawa pulang barangan peribadi Allahyarham dan menguruskan penjualan kenderaan miliknya.
Zulfah berkata, beliau amat bersyukur dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang tampil membantu sejak awal insiden sehingga jenazah anaknya selamat dibawa pulang dan dikebumikan.
“Saya sudah tidak tahu hendak mengucapkan apa selain terima kasih. Saya sangat bersyukur kerana ramai yang membantu keluarga kami daripada proses membawa pulang jenazah hinggalah urusan pengebumian selesai.
“Semoga Allah membalas segala kebaikan mereka,” katanya.
Terdahulu, jenazah Ahmad Shah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri pada pukul 10 malam selepas selesai solat jenazah.
Allahyarham maut selepas ditikam dalam satu pergaduhan di Korea Selatan dan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara akibat kecederaan parah pada bahagian perut.
Mangsa yang menetap di sana sejak 2019 datang ke lokasi kejadian pergaduhan itu bersama isterinya dari kediaman mereka, selepas rakannya yang juga rakyat Malaysia menghubunginya bagi mendapatkan pertolongan. – UTUSAN
The post Sokongan rakyat kuatkan keluarga Ahmad Shah appeared first on Utusan Malaysia.

