Auto Added by WPeMatico

![]()
KEMAMAN – Pemilik ‘rumahku rakitku’ yang terkenal dengan inovasi membina rumah terapung pada musim banjir, meninggal dunia, hari ini.
A. Bakar Che Ahmad, 71, atau lebih dikenali sebagai Pokwe yang menderita kanser hempedu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Tebak, di sini, pada pukul 1.45 tengah hari.
Anak sulungnya, Kamaruddin, 43, berkata, bapanya sebelum ini dimasukkan ke Hospital Kemaman dua minggu lalu, sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
“Ayah (Pokwe) baru dibenarkan pulang dari HSNZ tiga hari lalu, selepas dirawat selama 19 hari di hospital itu dan Hospital Kemaman. Selepas dibenarkan pulang, kesihatan ayah semakin merosot. Dia mula tidak memberi sebarang tindak balas pada waktu tengah hari sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ahli keluarga tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebak, di sini hari ini.
Jenazah A. Bakar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebak di sini pada pukul 6.20 petang tadi.
Bekas pemandu lori itu mula membina rumah terapung pada penghujung tahun 2022 bagi menyelamatkan harta benda selain dijadikan tempat berlindung sepanjang musim tengkujuh disebabkan kediamannya berada di lokasi rendah dan sering dilanda banjir.
Pembinaan rumah rakit seluas kira-kira 6.5 meter persegi yang diapungkan dengan bantuan 102 tong plastik itu diinspirasi daripada reban ayam terapung yang dibina pada tahun 2019 bagi menyelamatkan ayam ternakannya. – KOSMO! ONLINE
The post Pokwe, pemilik ‘rumahku rakitku’ meninggal dunia appeared first on Kosmo Digital.
