Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan berhampiran kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta di sini bermula pukul 7 pagi esok.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, penempatan itu bagaimanapun bukan bertujuan mengawal Najib selama 24 jam, sebaliknya bagi memastikan aspek keselamatan dan kelancaran pergerakan sekiranya proses pemindahan dari penjara ke kediaman tersebut dilaksanakan.
“Ia untuk kawalan semasa proses kepulangannya sahaja sekiranya kediaman ini dipilih, selain menjaga keselamatan pemberita tempatan dan luar negara serta jiran-jiran.
“Langkah itu juga bagi mengelakkan kesesakan jalan raya dan mengawal kehadiran penyokong.
“Ia bukan tugas yang diarahkan untuk mengawal Datuk Seri Najib, tetapi bagi tujuan keselamatan ketika proses pemindahannya selepas membayar denda, dari penjara ke rumah,” katanya ketika dihubungi oleh media hari ini.
Menurut Anuar Bakri, pihaknya setakat ini belum menerima pengesahan rasmi sama ada kediaman di Langgak Duta itu akan menjadi lokasi tahanan rumah Najib.
Katanya, terdapat kemungkinan kediaman lain milik bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut dipertimbangkan, namun perkara tersebut belum dapat dipastikan.
Dalam pada itu, beliau berkata, tanggungjawab mengawasi Najib sekiranya menjalani tahanan rumah adalah di bawah Jabatan Penjara Malaysia dan bukannya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Malah, empat pegawai Jabatan Penjara dilaporkan hadir ke kediaman berkenaan semalam bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian.
Katanya, penugasan polis ketika proses berkenaan dijangka melibatkan seorang penyelia dan dua anggota selain dibantu unit kereta peronda (MPV).
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 susulan sabitan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE
The post Balai polis bergerak ‘berkampung’ depan rumah Najib mulai esok appeared first on Kosmo Online.
