Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu menjalani prosedur angioplasti belon atau pemasangan stent selepas keputusan angiogram koronari mendapati penyumbatan pada salur darah koronarinya masih boleh dikawal melalui rawatan ubat-ubatan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Tetuan Shafee & Co. selaku peguam bagi pihak Najib, prosedur perubatan itu dijalankan susulan siri penilaian kesihatan sejak beberapa minggu lalu yang mengesan penyumbatan pada salur darah koronari.
Katanya, berdasarkan penilaian awal, pasukan perubatan menganggarkan terdapat kebarangkalian 95 peratus Najib memerlukan intervensi lanjut sama ada angioplasti belon atau pemasangan stent.
“Setelah angiogram koronari dan penilaian menyeluruh selesai dijalankan hari ini, pakar-pakar yang merawat mendapati bahawa baik angioplasti belon mahupun pemasangan stent tidak diperlukan.
“Sebaliknya, penyumbatan tersebut boleh dikawal secara berkesan melalui ubat-ubatan, pemantauan perubatan berterusan dan rawatan susulan.,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan sama, keputusan untuk meneruskan prosedur itu dibuat sepenuhnya berdasarkan keperluan perubatan dan penemuan klinikal ketika itu memandangkan kebarangkalian yang tinggi bahawa intervensi lanjut mungkin diperlukan.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Datuk Seri Najib kini berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan proses pemulihan di bawah pengawasan rapi doktor yang merawat,” ujarnya.
Pihak keluarga turut merakamkan penghargaan kepada pakar kardiologi, pakar kardiotorasik, jururawat serta seluruh pasukan perubatan di Pusat Kardiotorasik dan Kardiologi, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang atas profesionalisme dan penjagaan yang diberikan.
Selain itu, keluarga Najib turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa, sokongan dan ucapan baik yang berterusan. – KOSMO! ONLINE
The post Najib Razak tidak perlu pasang stent, hanya makan ubat sakit jantung appeared first on Kosmo Digital.
