Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Pelawak Sharif Zero masih menyimpan harapan untuk kembali bergandingan bersama dua adiknya, Syaiful dan Atu dalam kumpulan Zero selepas sekian lama membawa haluan kerjaya masing-masing.
Ujar Sharif atau nama sebenarnya Sharif Kadir Dol Sharif, 36, kerinduan terhadap adik-beradiknya tidak pernah padam, malah dia hanya mampu mengharapkan doa peminat agar kumpulan popular itu dipertemukan semula di pentas seni.
“Apa yang saya harapkan adalah doa daripada semua peminat. Semoga ada sinar untuk kumpulan Zero bergabung semula dan doakan yang terbaik buat kami.
“Saya okey sahaja. Saya rindu adik-beradik saya. Itu paling penting. Saya rindu mereka, rindu hendak berkumpul.
“Buat masa ini saya hanya mampu berdoa semoga kami dapat bersatu kembali,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas peluang untuk kembali beraksi bersama, juara Maharaja Lawak Mega 2014 itu berkata, kumpulan Zero sebenarnya masih wujud, namun kekangan komitmen menyebabkan mereka sukar memenuhi undangan secara bersama.
“Kumpulan Zero masih ada. Cuma peluang untuk bersama agak kurang kerana mungkin tawaran program komedi di televisyen sekarang tidak sebanyak dahulu.
“Ada juga pihak mahu menjemput kami bertiga, tetapi masing-masing mempunyai komitmen sendiri. Syaiful pula menetap di Sabah dan kebanyakan tawarannya di sana.
“Banyak tawaran di Sabah, tetapi saya pula tidak dapat ke sana kerana anak masih bersekolah dan saya bekerja di sini. Jadi, agak sukar untuk kami bergabung kerana masing-masing mempunyai komitmen,” katanya.
Dalam masa sama, Sharif berkata kerjasama terakhir mereka menerusi sebuah lagu khas sempena Pesta Kaamatan tetap menjadi kenangan manis biarpun promosi dilakukan secara berasingan.
“Single itu sebenarnya disasarkan kepada pendengar di Sabah dan diterbitkan sebagai projek khas kami bertiga sempena Pesta Kaamatan.
“Ketika pelancaran lagu itu, saya berada di Brunei manakala Atu sahaja hadir untuk sesi promosi di sini. Bagaimanapun, di Sabah memang ada yang mendengar lagu tersebut.
Dalam perkembangan lain, Sharif kini giat mengusahakan penganjuran kejohanan pickleball Celebrity Team Event Showdown melibatkan kira-kira 60 selebriti tempatan, dijadual berlangsung pada 16 September depan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Doa yang terbaik, moga ada sinar Zero bergabung semula’ appeared first on Kosmo Digital.


