Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Malaysia menegaskan pendirian untuk terus mempertahankan prinsip keamanan, berkecuali dan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa dalam memastikan kestabilan rantau ASEAN serta Indo-Pasifik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendirian itu bukan sekadar dasar luar negara, malah menjadi pegangan Malaysia sejak sekian lama.
Beliau berkata, Persidangan Antarabangsa Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan (Milops) ke-37 2026 menjadi platform penting dalam membina keyakinan, persefahaman serta kepercayaan antara negara yang berkongsi matlamat sama iaitu keamanan dan kestabilan.
“Platform ini bukan untuk meningkatkan ketegangan atau persaingan, sebaliknya untuk membina persefahaman bersama, kepercayaan dan keyakinan antara negara yang berkongsi matlamat sama.
“Setiap konflik mesti diselesaikan menerusi dialog secara aman, pengantaraan dan diplomasi, bukannya peperangan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Milops ke-37 2026, di ibu negara, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, penganjuran persidangan tersebut membuktikan komitmen Malaysia dalam menggalakkan dialog, kerjasama dan persefahaman antara negara sebagai pendekatan terbaik untuk mengekalkan keamanan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang perbincangan mengenai Indo-Pasifik tidak akan bermakna tanpa kewujudan ASEAN yang aman dan bersatu memandangkan Asia Tenggara berada di tengah-tengah rantau tersebut.
Katanya, seni bina keselamatan ASEAN perlu terus menjadi saluran utama kepada sebarang wacana berkaitan Indo-Pasifik kerana rantau itu telah sekian lama dipandu oleh prinsip yang berjaya mengekalkan keamanan.
“Kami tidak berhasrat untuk menentukan bagaimana anda harus melaksanakan dasar luar dan mengurus hal ehwal antarabangsa.
“Namun, kami mengharapkan ia dilakukan dengan menghormati undang-undang antarabangsa serta aturan berasaskan peraturan secara konsisten, bukannya secara terpilih,” ujarnya.
Tambah beliau, Asia Tenggara juga mesti terus kekal sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), yang menjadi prinsip penting dalam memastikan rantau itu terus menikmati keamanan serta mengelakkan konflik besar sejak beberapa dekad lalu.
Beliau turut menggesa semua pihak terus berpegang kepada prinsip keamanan, saling menghormati dan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa yang menjadi asas kepada kestabilan ASEAN.
“Jika kita terus berpegang kepada prinsip keamanan, berkecuali, dialog, saling menghormati dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, saya yakin perbincangan dalam persidangan ini akan menyumbang kepada Asia Tenggara dan rantau Indo-Pasifik yang lebih aman, stabil serta makmur,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia tegas pertahan prinsip berkecuali ASEAN appeared first on Kosmo Digital.






