Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – “Saya memang buat tak tahu sebab ustaz pun cakap, tak perlu fokus sangat. Cuma baca surah al-Baqarah dan teruskan penggambaran.”
Demikian perkongsian pelakon dan pengarah Liyana Jasmay yang berdepan gangguan mistik semasa menjalani penggambaran filem arahan terbaharunya, Pemuja Syaitan.
Menurut Liyana, 38, insiden tersebut meninggalkan kesan mendalam apabila entiti aneh mengekorinya sehingga ke tempat penginapan.
“Pengalaman sendiri itu saya nampak lembaga hitam, mungkin hantu raya. Selalunya tak begitu.
“Dia ikut saya sampai ke hotel tapi yang ini memang ganas. Selepas itu saya bangun dan terus solat. Saya terus mengaji tidak berhenti seharian.
‘Mungkin kami tak sempat nak mengaji sepanjang masa. Balik itu saya mula mengaji setiap masa,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelakon filem Papadom itu tidak menafikan pemilihan kawasan terbiar yang bertahun-tahun ditinggalkan turut mengundang risiko gangguan.
‘Kejadian rasuk itu memang betul sebab tempat ini ditinggalkan, orang tak masuk pun. Jadi, kita datang dan buat studio.
“Ada orang cakap awal-awal orang kampung pun tak masuk ke tempat itu sebab dah bertahun-tahun ditinggalkan.
‘Kita macam bawa padah kepada diri sendiri. Tapi sudah semestinya kita ada ustaz,” jelasnya.
Malah, dia turut mendedahkan filem tersebut merakam detik sebenar di mana ada seorang individu mengalami histeria.
“Dalam filem nanti kalian tengok, memang ada orang yang betul-betul kena rasuk waktu itu.
“Dia berlakon tapi dalam masa sama dia kena rasuk. Kalian boleh rasa sebab masa saya buat suntingan, saya terkejut.
“Boleh rasa ada sesuatu dekat dengan dia,” katanya lagi.
Pemuja Syaitan merupakan filem pertama arahan Liyana Jasmay yang dibintangi Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar dan Aila Azizul.
Filem terbitan Mermaid Studio tersebut bakal menemui penonton pada 15 Oktober depan di pawagam seluruh negara. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Lembaga hitam, mungkin hantu raya ikut saya balik hotel’ appeared first on Kosmo Online.
