Auto Added by WPeMatico

![]()
BEIJING: China pada Khamis mendesak Amerika Syarikat (AS) supaya menarik balik larangan kemasukan peranti robotik canggih buatan luar negara ke pasaran Amerika.
Beijing turut memberi amaran akan mengenakan tindakan balas susulan larangan tersebut.
Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) AS pada Selasa memasukkan peranti robotik canggih seperti robot humanoid dan berkaki empat serta penyongsang kuasa ke dalam Senarai Terlindung.
Senarai itu mengandungi butiran peralatan yang dianggap terlalu berisiko untuk diluluskan penjualannya di AS.
Majoriti produk terbabit dikeluarkan oleh China.
“Sekiranya AS terus berdegil mengikut telunjuk sendiri, China akan mengambil tindakan balas yang tegas bagi mempertahankan hak dan kepentingan sahnya,” kata jurucakap Kementerian Perdagangan dalam satu kenyataan yang dipetik portal berita Global Times.
Jurucakap itu menambah, langkah-langkah diambil Washington itu pada hakikatnya merupakan layanan diskriminasi dan penindasan yang disasarkan secara khusus kepada syarikat serta produk keluaran China.
Tindakan itu, katanya, menjejaskan kepentingan perdagangan China yang sah. Ia juga merosakkan kestabilan hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS selain mengganggu kelancaran rantai bekalan serta industri global.
“Pihak AS sengaja memperluas konsep keselamatan nasional secara melampau, mengabaikan desakan padu daripada sektor industri di kedua-dua negara dan menggunakan kuasa pentadbiran untuk campur tangan secara sengaja dalam urus niaga komersial termasuk perdagangan normal antara syarikat,” jelas kenyataan itu lagi. – AGENSI
The post China desak AS tarik balik larangan robot appeared first on Utusan Malaysia.
