Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA: Negara-negara anggota ASEAN dan China memuktamadkan konsensus ‘Ipoh Accord’ dalam memacu pembangunan bandar mampan, penyediaan perumahan berkualiti serta pembinaan komuniti bersatu padu.
Kerjasama itu dicapai melalui Persidangan Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan yang berlangsung di Ipoh, Perak semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dokumen ini menggariskan tiga keutamaan iaitu kecekapan tenaga, perumahan berteraskan nilai serta keharmonian komuniti.
Katanya, ia turut menggalakkan penggunaan teknologi pintar, reka bentuk responsif iklim, kaedah pembinaan inovatif dan bahan binaan rendah karbon bagi mewujudkan bandar yang lebih mampan serta berdaya tahan.
“Kejayaan memuktamadkan Ipoh Accord membuktikan komitmen bersama ASEAN dan China untuk bergerak daripada dialog kepada tindakan.
“Malaysia berbangga menjadi pemudah cara kepada kerjasama strategik yang akan memacu pembangunan bandar mampan, penyediaan perumahan berkualiti serta pembinaan komuniti yang lebih bersatu padu demi kesejahteraan rakyat di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Ipoh Accord bukan sekadar dokumen konsensus, malah menjadi kerangka tindakan bersama ASEAN dan China dalam mendepani cabaran pembandaran yang semakin kompleks.
Selain itu, Ipoh Accord mengiktiraf perumahan sebagai pelaburan sosial jangka panjang yang bukan sahaja dinilai daripada kos pembinaan, malah turut menitikberatkan aspek kualiti, kebolehtahanan, kebolehcapaian, penyelenggaraan, kecekapan penggunaan utiliti serta keselesaan untuk didiami.
Dokumen ini juga memberi penekanan kepada pembentukan kejiranan yang selamat, inklusif dan mudah diakses bagi memperkukuh kesejahteraan sosial, meningkatkan kepercayaan dalam komuniti serta memperkukuh daya tahan masyarakat.
Dalam pada itu, persidangan itu turut mengukuhkan kerjasama jangka panjang ASEAN-China melalui Ipoh Accord dalam bidang pembinaan, perumahan dan pembangunan bandar dengan memberi penekanan kepada empat bidang utama.
Bidang itu ialah bandar mampan, perumahan berkualiti, komuniti bersatu padu dan kerjasama serantau.
Selain itu ialah pengukuhan kerjasama tiga simensi iaitu kerjasama antara kerajaan melalui perkongsian dasar dan amalan terbaik, kerjasama industri menerusi penerapan teknologi, inovasi dan penyelesaian mampan serta kerjasama antara bandar melalui pertukaran pengalaman ke arah membangunkan bandar yang lebih inklusif, berdaya huni dan berdaya tahan.
Sebagai hasil utama ACMROCH 2026, Ipoh Accord turut memperkukuh peranan persidangan ini sebagai platform praktikal bagi pertukaran dasar, perkongsian pengetahuan, pertukaran teknikal serta pengukuhan kerjasama yang saling memberi manfaat antara Negara-Negara Anggota ASEAN dan Republik Rakyat China.
Kejayaan ini mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam menghimpunkan rakan-rakan serantau ke arah merealisasikan aspirasi bersama membangunkan bandar yang mampan, menyediakan perumahan berkualiti serta membina komuniti yang lebih inklusif, berdaya tahan dan sejahtera. – UTUSAN
The post ASEAN-China pacu pembangunan bandar, perumahan berkualiti appeared first on Utusan Malaysia.





