Auto Added by WPeMatico

![]()
IPOH – Peruntukan bernilai RM12.3 juta disediakan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi 123 buah sekolah di negeri ini untuk melaksanakan Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah di bawah Reformasi Sekolah sempena Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengoperasian Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Salmah Abd. Murad berkata, kesemua sekolah dari 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Perak masing-masing menerima peruntukan bernilai RM100,000.
“Setiap sekolah menerima peruntukan itu bagi menyokong pelaksanaan inisiatif transformasi sekolah yang memberi fokus kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pemerkasaan kepimpinan sekolah, pembangunan profesionalisme guru serta pengukuhan kemenjadian murid.
“Prakarsa ini memberi ruang kepada pihak sekolah untuk merancang dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian berdasarkan keperluan serta konteks sekolah masing-masing.
“Ia khususnya dalam memperkukuh aspek akademik, pengurusan sekolah, pembangunan potensi murid dan peningkatan kualiti perkhidmatan pendidikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Mohd. Hanafi Samad menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah di bawah Reformasi Sekolah sempena Pelaksanaan RPM 2026-2035 di Dewan Serbaguna, Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini.
Selamat berkata, pelaksanaan prakarsa itu mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam memperkasa agenda Reformasi Sekolah sebagai salah satu inisiatif utama di bawah RPM 2026-2035.
Beliau berkata, ia sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan yang berkualiti, inklusif dan berimpak tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, pemilihan kesemua sekolah tersebut dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri serta PPD dengan kesemuanya dikenal pasti sebagai Sekolah Inspirasi.
Salmah berkata, Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah melibatkan 1,500 sekolah di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE
The post RM12.3 juta laksanakan Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah di Perak appeared first on Kosmo Digital.


