Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) bukan semata-mata berkaitan seks, sebaliknya penting dalam membantu kanak-kanak memahami tubuh badan, batas diri, persetujuan serta mendapatkan bantuan ketika berdepan situasi tidak selamat.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pengalaman lebih 15 tahun menguruskan Rumah Perlindungan Bayt Al-Rahmah mendedahkan beliau kepada pelbagai kes membabitkan gadis bawah umur, kehamilan serta kanak-kanak daripada keluarga yang berdepan keganasan rumah tangga.
Menurut beliau, sebahagian daripada mereka hadir ketika masalah sudah berlaku, manakala ada yang tidak mengetahui batas diri atau kepada siapa mereka boleh mendapatkan bantuan.
“Pengalaman itulah yang selalu mengingatkan saya bahawa ada ilmu yang tidak sepatutnya kita tunggu sehingga sesuatu berlaku untuk diajar. Anak-anak perlu mengenali tubuh sendiri, memahami batas, tahu tentang persetujuan dan tahu mendapatkan bantuan apabila berhadapan dengan sesuatu yang tidak selamat,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Terdahulu, Fadhlina telah merasmikan Seminar Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) hari ini.
Fadhlina berkata, kebimbangan sesetengah ibu bapa bahawa PEERS akan menyebabkan anak-anak ‘terlalu tahu’ perlu didengar, namun perkembangan dunia hari ini memerlukan pendekatan pendidikan yang bersesuaian.
“Kalau kita memilih untuk diam, ruang itu tidak semestinya kekal kosong. PEERS tidak menghilangkan batas. PEERS membantu anak-anak memahami batas,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post PEERS bantu murid faham batas, tahu bila perlu minta bantuan appeared first on Kosmo Online.
