Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek meminta guru baharu yang dilantik supaya memberi ruang dan masa kepada diri sendiri untuk menyesuaikan diri di lokasi penempatan seperti mana dalam tawaran dikeluarkan.
Beliau berkata, membaca luahan guru-guru baharu yang menerima penempatan masing-masing membuatkan dirinya teringat ketika menyantuni anak-anak di Tasik Banding.
Katanya, untuk bertemu anak-anak itu, perlu meninggalkan jalan yang biasa dilalui.
“Setiap kali sampai, saya selalu terfikir tentang guru-guru yang lebih dahulu sampai sebelum saya. Mereka bukan datang untuk sehari dua seperti saya. Mereka hadir setiap pagi.
“Mengajar, mengenali keluarga anak-anak dan perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada kehidupan sebuah komuniti. Di situlah saya belajar melihat jarak daripada dua sisi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Fadhlina berkata, beliau tahu di dalam kegembiraan bergelar guru, ada juga diam-diam sedang memikirkan keluarga di rumah yang terpaksa ditinggalkan, perjalanan jauh, tempat tinggal dan bagaimana mahu memulakan kehidupan di tempat langsung tidak dikenali.
“Kalau ada rasa sedih, risau atau belum bersedia, tidak mengapa. Perasaan itu tidak menjadikan cikgu-cikgu kurang bersyukur dengan rezeki menjadi seorang guru.
“Bagi seorang guru, mungkin terasa sedang pergi jauh dari rumah. Bagi seorang anak di sana, seorang guru sedang datang lebih dekat kepadanya,” katanya.
Justeru, beliau berkata, guru-guru baharu tidak perlu memaksa diri untuk terus menyukai suasana sekolah dan cuba kenali murid, sahabat dan bina rutin baharu.
“Saya tidak tahu bagaimana hari pertama cikgu-cikgu nanti. Mungkin kekok. Mungkin sunyi. Mungkin ada malam yang terasa panjang kerana rindukan rumah. Tak perlu paksa diri untuk terus menyukai semuanya.
“Berilah masa kepada diri sendiri. Kenali sekolah itu sedikit demi sedikit. Kenali anak-anaknya. Cari sahabat baharu. Bina rutin baharu. Rumah tetap rumah, walau sejauh mana saudara saudari pergi. Siapa tahu, apabila tiba masa untuk bertukar nanti, cikgu pula yang akan menoleh berkali-kali kerana berat mahu meninggalkan anak-anak yang pernah terasa begitu asing.
“Selamat memulakan perjalanan, cikgu. Ada anak-anak yang sedang menunggu kehadiran cikgu-cikgu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Guru baharu beri ruang, masa sesuaikan diri – Fadhlina appeared first on Kosmo Online.
