Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lagi menetapkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah kementerian itu.
KPM berkata, keputusan tersebut dibuat susulan perbincangan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut kementerian itu, sebelum ini syarat berkenaan dikenakan terhadap IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad.
“Syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada tahun 2006,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan berhubung pelaksanaan syarat berkenaan sebelum keputusan penyelarasan dibuat.
Katanya, langkah itu juga mengambil kira keperluan semasa sektor pendidikan negara.
“Penyelarasan ini dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara,” katanya.
Dalam pada itu, KPM menghargai sumbangan semua pengusaha IPS terhadap sektor pendidikan negara.
Kementerian itu berkata, kerjasama dengan semua pihak akan diteruskan demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia.
Kenyataan mengenai penyelarasan syarat pemilikan IPS tersebut dikeluarkan KPM hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi IPS dimansuhkan appeared first on Kosmo Online.
