Auto Added by WPeMatico

![]()
SERDANG – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM24 juta bagi pelaksanaan inisiatif FlySiswa 2026 untuk membantu seramai 60,000 pelajar institusi pengajian tinggi menampung kos penerbangan domestik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu memberi fokus kepada pelajar yang berulang-alik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut beliau, setiap pelajar yang layak akan menerima baucar digital bernilai RM400 yang boleh digunakan bagi pembelian tiket penerbangan domestik.
“Pelajar bebas merancang perjalanan mereka sendiri dan memilih penerbangan paling menjimatkan, tidak terhad kepada satu perjalanan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Pengangkutan Siswa Madani & FlySiswa 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.
Katanya, FlySiswa yang bermula pada 2023 kini dilaksanakan sebagai program tahunan selepas mendapat peruntukan khusus daripada Kementerian Kewangan.
Tambah beliau, inisiatif itu melibatkan beberapa syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan Air Borneo.
Anthony berharap semua pelajar yang layak tampil menuntut bantuan berkenaan supaya peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE
The post RM24 juta bantu 60,000 pelajar terbang pulang dengan FlySiswa appeared first on Kosmo Digital.