Auto Added by WPeMatico

![]()
PENINGKATAN jangka hayat penduduk merupakan petanda kemajuan sesebuah negara. Di Malaysia, kemudahan kesihatan yang semakin baik, pemakanan seimbang dan taraf hidup yang meningkat membolehkan lebih ramai rakyat menikmati usia panjang.
Namun, pertambahan umur membuka ruang untuk terus menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara. Atas dasar itu, konsep masyarakat septolesen semakin mendapat perhatian.
Istilah septolesen merujuk kepada individu yang berusia 70 tahun ke atas tetapi masih menjalani kehidupan secara aktif, produktif dan bermakna. Mereka terus berkarya, menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta menyumbang mengikut kemampuan.
Bagi masyarakat septolesen, persaraan menjadi permulaan fasa baharu yang lebih bermakna. Pengalaman puluhan tahun yang dikumpulkan dimanfaatkan untuk membimbing generasi muda sebagai mentor, sukarelawan, penulis, penceramah, tenaga pengajar atau usahawan kecil.
Perkongsian ilmu dan kebijaksanaan mereka menjadi aset yang amat bernilai dalam membina masyarakat yang lebih berpengetahuan.
Kesihatan fizikal pula menjadi keutamaan kerana tubuh yang cergas membolehkan mereka terus berdikari. Ramai mengamalkan senaman ringan seperti berjalan kaki, berbasikal, berenang atau berkebun.
Di samping itu, mereka menjaga pemakanan, mendapatkan rehat yang mencukupi dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Amalan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup, malah mengurangkan risiko penyakit serta kebergantungan kepada orang lain.
Dalam aspek intelektual, masyarakat septolesen sentiasa berusaha mengekalkan ketajaman minda. Mereka gemar membaca, menghadiri kuliah agama, mengikuti seminar dan mempelajari kemahiran baharu.
Ramai juga berusaha menguasai teknologi digital bagi memudahkan urusan harian serta berhubung dengan keluarga. Sikap ingin belajar sepanjang hayat membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan kekal relevan dalam masyarakat.
Hubungan sosial turut memainkan peranan penting. Mereka menghargai masa bersama pasangan, anak-anak, cucu, saudara-mara dan sahabat. Penyertaan dalam aktiviti komuniti, program kemasyarakatan atau majlis ilmu mengeratkan silaturahim serta menghindarkan rasa sunyi.
Semangat kejiranan dan budaya saling mengambil berat menjadikan warga emas terus berasa dihargai dan diperlukan.
Golongan septolesen juga dikenali kerana sikap positif terhadap kehidupan. Mereka mengisi masa dengan aktiviti yang memberi manfaat seperti menghasilkan karya, berkebun, mengembara, mempelajari bahasa baharu atau terlibat dalam kerja kebajikan. Kesibukan yang sihat membantu mengekalkan kesejahteraan emosi serta memberikan kepuasan hidup.
Dari sudut kerohanian, mereka memperkukuh hubungan dengan Allah SWT melalui ibadah, pembacaan al-Quran, majlis ilmu dan amalan bersedekah. Nilai kesyukuran menjadi pegangan utama kerana setiap tambahan usia dianggap peluang untuk memperbanyak amal kebajikan.
Jiwa yang tenang membantu mereka menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih tabah dan reda.
Keluarga serta masyarakat mempunyai tanggungjawab besar dalam menyokong kehidupan warga emas. Anak-anak perlu menghormati, menghargai pandangan dan melibatkan ibu bapa dalam urusan keluarga.
Pada masa sama, kerajaan dan pertubuhan berkaitan wajar menyediakan lebih banyak kemudahan mesra warga emas seperti taman rekreasi, pusat aktiviti komuniti, program pembelajaran sepanjang hayat dan peluang kesukarelawanan. –UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)
Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka
The post Usia bukan penghalang warga emas terus aktif appeared first on Utusan Malaysia.



