Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Sepasukan pegawai penyiasat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dihantar ke Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhubung penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) yang ditahan kerana didakwa menyeludup dadah ke negara berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata persiapan sedang dilakukan untuk menghantar pasukan penyiasat ke Jakarta, Indonesia.
Beliau berkata, perkara itu sedang diselaraskan dengan pihak berkuasa negara berkenaan ketika pihaknya berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut.
“Ia bertujuan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia serta membantu siasatan yang sedang kami jalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta selepas petugas Kastam dan Cukai Indonesia mengesan objek mencurigakan dalam bagasi miliknya ketika pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di balai ketibaan antarabangsa.
Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram, selain satu bungkusan syabu seberat 2.75 gram dan sisa syabu seberat 0.08 gram dalam paip kaca. – UTUSAN
The post PDRM hantar penyiasat ke Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.
