Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Sebahagian besar daripada 344 pulau peranginan di seluruh negara berdepan risiko ancaman pencemaran alam sekitar kerana ketiadaan sistem pengurusan sampah dan kumbahan berpusat.
Antara pulau yang berdepan masalah itu ialah Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Kapas di Terengganu serta Pulau Mabul dan Pulau Selakan di Sabah.
Kebanyakan pulau tersebut kini bergantung kepada sistem setempat seperti tangki septik individu, kutipan berkala atau penghantaran sisa ke tanah besar, berbanding loji rawatan kumbahan dan pusat pengumpulan sisa berpusat.
Sebaliknya, hanya sebilangan kecil pulau seperti Pulau Langkawi, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman mempunyai kemudahan pengurusan sisa dan kumbahan yang lebih lengkap.
Pakar Alam Sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din berkata, keadaan itu berisiko menyebabkan pencemaran alam sekitar dan laut sekiranya sistem pengurusan sisa tidak ditambah baik seiring dengan peningkatan aktiviti pelancongan setiap tahun.
Katanya, peningkatan jumlah penduduk mencecah 3,000 orang di setiap pulau selain kehadiran pelancong yang tinggi boleh memberi tekanan besar terhadap kapasiti pengurusan sisa terutamanya apabila pulau terbabit tidak mempunyai infrastruktur rawatan kumbahan dan pelupusan sisa yang mencukupi.
“Antara kelemahan utama pengurusan sisa di pulau ialah kebergantungan kepada bot yang dipengaruhi faktor cuaca dan keadaan laut, selain kapasiti pengangkutan sisa yang tidak mampu menampung peningkatan mendadak jumlah pelancong pada musim puncak.
“Situasi itu diburukkan lagi dengan ketiadaan bot sokongan dan pelan kecemasan, amalan mencampurkan sisa makanan, plastik serta sisa khas, selain lokasi tempat transit sampah yang terbuka atau terlalu hampir dengan laut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Mingguan Malaysia dalam laporan bertajuk ‘Neraka’ Sampah Di Pulau Peranginan yang membongkar lambakan sampah di dasar dan pesisir laut Kampung Baru Pulau Redang, termasuk sisa yang dipercayai hanyut dari luar negara.
Susulan pendedahan itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah melaksanakan operasi pembersihan menggunakan dua bot berkapasiti 12 tan bagi mengutip sampah di sekitar pulau berkenaan.
Mohd. Fadhi berkata, sebagai contoh di Pulau Aur, Pulau Besar, Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Pemanggil, jumlah sisa yang dijana pelancong jauh melebihi sisa penduduk tempatan, manakala sistem kumbahan masih bergantung kepada tangki septik.
“Di Mabul dan beberapa pulau di Semporna pula, kutipan sisa secara formal serta kemudahan sanitasi masih belum menyeluruh, khususnya di kawasan kampung air.
“Pulau Mantanani dan Pulau Aman pula berdepan kekangan kos, logistik serta cabaran memastikan kesinambungan sistem pengurusan sisa berasaskan komuniti,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Fadhi berkata, antara cabaran utama pengurusan sisa di pulau peranginan ialah pertindihan tanggungjawab antara pihak berkuasa tempatan, pengurusan taman laut, pengusaha resort dan operator pelancongan, selain kontrak kutipan sisa tidak disokong dengan pemantauan.
Katanya, kerajaan justeru itu perlu menangguhkan kelulusan pembinaan atau pengoperasian penginapan baharu di pulau peranginan terlibat bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar menjadi lebih serius.
Menurut beliau, langkah itu perlu dilaksanakan seiring dengan penetapan had kapasiti pelancong yang bersifat dinamik dan berasaskan data bagi memastikan pembangunan pelancongan tidak mengatasi kemampuan infrastruktur asas di pulau.
Beliau berkata, kuota pelawat, bilangan katil penginapan dan aktiviti pelancongan termasuk selaman skuba perlu disemak mengikut musim bagi memastikan beban terhadap infrastruktur tidak melebihi kemampuan.
“Kapasiti sebenar pulau ditentukan oleh sistem yang paling lemah sama ada kutipan sisa, rawatan kumbahan, bekalan air, keselamatan atau daya tahan ekologi.
“Oleh itu, kelulusan penginapan baharu wajar ditangguhkan sekiranya sistem sisa atau kumbahan telah menghampiri kapasiti maksimum,” katanya.-UTUSAN
The post 344 pulau peranginan diancam pencemaran appeared first on Utusan Malaysia.

