Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu pengesahan rasmi pihak berkuasa Filipina berhubung dakwaan seorang ahli politik negara itu membiayai sewaan jet peribadi yang membawa 521 kilogram (kg) dadah disyaki syabu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah berkongsi maklumat dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) berhubung kes berkenaan.
Menurut beliau, pihak polis turut mengesan dua individu warga Filipina yang dipercayai membuat tempahan jet peribadi terbabit.
“Setakat ini, kita masih menunggu pengesahan rasmi daripada pihak Filipina sama ada sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan ahli politik di negara itu atau sebaliknya.
“Apa yang dilaporkan mengenai penglibatan ahli politik itu setakat ini adalah berdasarkan laporan media di sana,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media kejayaan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Semalam, media Filipina melaporkan seorang ahli politik dari Mindanao, selatan negara itu, didakwa membiayai sewaan jet peribadi yang membawa 521kg dadah disyaki syabu bernilai 3.54 bilion peso (kira-kira RM246 juta).
Jurucakap PDEA, Joseph Frederick Calulut dilaporkan berkata, ahli politik terbabit dipercayai membayar kira-kira 31 juta peso bagi menyewa pesawat berkenaan.
Kes itu turut mendapat perhatian pihak berkuasa Malaysia berikutan laluan penerbangan yang dikaitkan dengan penghantaran dadah berkenaan dari Subang ke Laos.
Hussein berkata, kerjasama antara PDRM dan PDEA diteruskan bagi mendapatkan maklumat lanjut serta mengesahkan dakwaan berhubung penglibatan individu berkenaan.
Siasatan lanjut dijangka dapat memperjelas peranan dua individu warga Filipina yang dikenal pasti membuat tempahan jet peribadi itu serta kemungkinan kaitan mereka dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.
Terdahulu, media melaporkan Polis Laos merampas 521kg dadah jenis crystal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, dengan 13 individu ditahan berhubung kes itu.
Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper dilaporkan berkata, operasi keselamatan dijalankan pada 1 Oktober lalu susulan maklumat diterima polis wilayah pada 21 September mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang menyeludup narkotik merentasi sempadan melalui udara menggunakan pesawat peribadi.
Menurut laporan itu, polis kemudian menerima maklumat mengenai perubahan jadual penerbangan dan pesawat peribadi berkenaan dijadualkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada pukul 1.30 tengah hari, 1 Oktober lalu.-KOSMO! ONLINE
The post Ahli politik Filipina didakwa taja jet bawa 521kg syabu ke Loas appeared first on Kosmo Online.
