Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Kadar pertumbuhan prestasi kewangan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) dijangka kekal positif, namun lebih perlahan pada separuh kedua susulan ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan risiko luaran.
Baru-baru ini, Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM144.6 juta bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2026, meningkat 15.2 peratus berbanding RM125.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, unjuran itu disandarkan kepada prestasi kukuh Bursa Malaysia pada separuh pertama tahun ini yang menyaksikan keuntungan bersih meningkat 15.2 peratus tahun ke tahun kepada RM144.6 juta.
Menurut beliau, pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan aktiviti dagangan saham, kutipan yuran penyenaraian serta momentum kukuh tawaran awam permulaan (IPO).
“Memasuki separuh kedua tahun ini, prospek masih positif dengan beberapa pemacu utama dijangka terus menyokong prestasi Bursa Malaysia.
“Antaranya ialah saluran penyenaraian IPO yang masih kukuh termasuk jangkaan satu atau dua IPO berskala besar sebelum akhir tahun, selain kadar faedah yang lebih stabil yang berpotensi meningkatkan minat pelabur terhadap pasaran ekuiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut menjangkakan prestasi Bursa Malaysia pada separuh kedua positif tetapi sederhana dengan Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berpotensi ditutup dalam lingkungan 1,730 hingga 1,800 mata menjelang akhir tahun.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi kewangan Bursa Malaysia dijangka kekal positif, disokong peningkatan nilai dagangan harian serta momentum aktiviti IPO yang berterusan.
Menurut beliau, perkembangan itu turut selari dengan tema pertumbuhan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta peningkatan pelaburan dalam sektor pusat data.
“Mengenai sasaran permodalan pasaran IPO yang disemak naik kepada RM34 bilion, kami berpandangan sasaran itu mampu dicapai.
“Saluran penyenaraian (pipeline) kekal kukuh didorong sentimen pasaran yang bertambah baik selain minat pelabur terhadap sektor pertumbuhan baharu.
“Bagaimanapun, pencapaian sasaran berkenaan masih bergantung kepada keadaan pasaran global,” katanya.
Beliau berkata, antara risiko yang boleh menjejaskan pencapaian sasaran itu termasuk ketidaktentuan global, khususnya sekiranya Rizab Persekutuan (Fed) AS menangguhkan pemotongan kadar faedah atau berlaku krisis ekonomi yang menyebabkan syarikat menangguhkan rancangan penyenaraian ke tahun hadapan.
“Selain itu, kekurangan penyenaraian syarikat berskala besar turut menjadi cabaran kerana pencapaian sasaran RM34 bilion memerlukan sekurang-kurangnya satu atau dua tawaran awam permulaan mega dengan nilai melebihi RM5 bilion.
“Sekiranya tiada penyenaraian mega, pasaran perlu bergantung kepada lebih banyak IPO berskala sederhana bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya. – UTUSAN
The post Pertumbuhan Bursa Malaysia diunjur sederhana pada separuh kedua appeared first on Utusan Malaysia.

