Auto Added by WPeMatico

TIDAK menyangka minatnya terhadap bidang elektrik akan membawa ke laluan kerjaya yang tersendiri, Nik Normala Muhamad Gopal membuktikan bahawa wanita juga mampu menguasai bidang teknikal yang sering didominasi lelaki.
Minat itu turut dipengaruhi oleh bapanya yang mempunyai pengalaman dalam bidang elektrik.
Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, Nik Normala, 28, memberitahu dia juga mahu mengikut jejak langkah bapanya sekali gus membuktikan kemampuan diri dalam bidang tersebut.
Berkongsi dengan K-Kampus, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, perjalanan pendidikannya bermula pada tahun 2016 apabila mengikuti Foundation in Engineering di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Dia kemudiannya melanjutkan pengajian Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari 2017 hingga 2022.
“Selepas memperoleh ijazah, saya memilih untuk mendalami kemahiran praktikal dengan mengikuti Sijil Teknologi Elektrik di Kolej Teknologi Tinggi Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kuala Lumpur dari 2023 hingga 2025.
“Sepanjang pengajian, saya mendapat pendedahan dalam penyelenggaraan elektrik, pendawaian, penyelesaian masalah dan pelbagai kerja amali.
“Di sana, saya turut memperoleh Perakuan Kekompetenan Pendawai Elektrik (Wireman) PW4 yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.
Mengimbas pengalaman ketika mula mengikuti pengajian di ADTEC JTM Kampus Kuala Lumpur, Nik Normala mengakui pada awalnya dia agak kekok kerana kebanyakan pelajar dalam bidang tersebut adalah lelaki.
“Pada awalnya saya berasa segan dan kekok kerana kebanyakannya lelaki tetapi pengalaman itu membantu saya keluar daripada kepompong dan menyahut cabaran yang lebih besar,” katanya.
Selain bidang akademik, Nik Normala turut aktif dalam sukan taekwondo yang banyak membentuk disiplin, keberanian dan ketahanan mental.
Pada tahun 2019, dia pernah meraih pingat perak dalam National Taekwondo Interclub Championship dan CK Classic International Taekwondo Championship, selain memenangi pingat emas dalam Help Invitational Taekwondo Championship.

Berkongsi lanjut, akuinya rasa takut ketika melakukan kerja elektrik sememangnya ada kerana bidang tersebut mempunyai risiko tersendiri.
Namun, sebagai anak pertama dalam keluarga, dia merasakan dirinya perlu menjadi lebih berani dan kuat untuk melaksanakan tanggungjawab.
Antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang pengajian adalah ketika melakukan tugasan amali yang agak sukar.
Dalam keadaan tertentu, rakan lelaki sekelasnya akan membantu apabila dia menghadapi kesukaran menyiapkan tugasan.
Menurutnya, bantuan rakan-rakan bukan sahaja memudahkannya melakukan kerja, malah memberikan semangat untuk terus belajar. Pengalaman tersebut turut mengajarnya kepentingan kerja berpasukan dalam bidang teknikal.
Pun begitu, cabaran sebenar dirasai apabila dia memasuki alam pekerjaan. Ceritanya, pada peringkat awal, terdapat pihak yang kurang percaya kemampuan wanita dalam melakukan kerja elektrik yang dianggap berbahaya dan lasak.
Selepas menamatkan pengajian pada 2025, Nik Normala memulakan kerjaya bersama Nik RG Holding Sdn. Bhd. pada tahun yang sama.
Pengalaman tersebut memberinya peluang mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari di ADTEC JTM Kampus Kuala Lumpur dalam suasana kerja sebenar.
Bagi Nik Normala, perjalanan daripada Foundation in Engineering, Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Teknologi Elektrik sehingga memperoleh PW4 merupakan proses melengkapkan dirinya dengan pengetahuan serta kemahiran.
Nasihatnya kepada pelajar perempuan yang berminat dalam bidang elektrik, teruskan dan jangan sesekali takut mencuba meskipun bidang tersebut didominasi kaum Adam.
The post Nik Normala ikut jejak bapa jadi ‘wireman’ appeared first on Kosmo Online.
