Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Exodus Market telah memperkenalkan sebuah program yang dikenali sebagai Exodus A.C.T Programme – AI Capability & Transformation (Exodus A.C.T.) bertujuan untuk membantu perniagaan mengenal pasti dan melaksanakan peluang transformasi kecerdasan buatan (AI) yang praktikal, bukannya mengguna pakai teknologi semata-mata kerana mengikut trend.
Syarikat yang terpilih akan menyertai Program Exodus A.C.T. dan bekerjasama dengan mentor industri dan pakar teknologi bagi mengenal pasti serta melaksanakan peluang transformasi AI yang praktikal.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exodus Markets, Kezy Chong berkata, sejak program itu mula dilancarkan, syarikat telah menerima lebih daripada 5,000 permohonan dalam tempoh beberapa bulan.
“Generasi syarikat seterusnya bukan sekadar menggunakan AI tetapi mereka akan dibina berasaskan AI.
“Perkara ini juga tidak bermakna bahawa manusia akan disingkirkan daripada organisasi, sebaliknya, AI boleh menjadi sebahagian daripada infrastruktur kerja manusia, manakala strategi, pertimbangan profesional, akauntabiliti, keputusan sensitif dan berisiko tinggi kekal tertakluk kepada pengawasan manusia,” katanya dalam kenyataan.
Exodus Markets adalah sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Singapura dan memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan, automasi perniagaan, sistem pintar serta transformasi digital.
Selain itu, Exodus Markets telah membangunkan rangkaian penyelesaian AI dan automasi turnkey yang direka khusus untuk pelbagai lapisan operasi perniagaan moden.
Di peringkat asas, ExoDrive memberi tumpuan kepada kecerdasan perusahaan dan keupayaan AI asas manakala ExoDM mengembangkan kecerdasan tersebut kepada aliran kerja pemesejan dan komunikasi selain ExoDesk membawa AI ke dalam operasi pelanggan dan suara.
ExoDynamic pula direka untuk aliran kerja kreatif dan pemasaran, membantu perniagaan mempercepatkan penghasilan kandungan, kempen dan pelaksanaan jenama.
Produk-produk ini tidak direka untuk beroperasi sebagai alat yang terasing, sebaliknya sebagai komponen yang saling melengkapi dalam ekosistem Exodus yang lebih luas.
Ia menghubungkan kecerdasan perusahaan, komunikasi, penglibatan pelanggan serta operasi kreatif ke dalam satu model operasi berkuasakan AI yang bersepadu.
Menurut data dalaman syarikat, perniagaan yang telah mengintegrasikan penyelesaian turnkey tersebut mencatatkan peningkatan kecekapan melebihi 50 peratus dalam aliran kerja tertentu, termasuk pengurangan kerja manual berulang serta pelaksanaan proses perniagaan rutin yang lebih pantas.
“Kesan AI menjadi lebih ketara apabila ia bergerak daripada eksperimen kepada aliran kerja sebenar,” kata Kezy.
“Jika sesebuah perniagaan boleh mengambil satu proses yang sebelum ini memerlukan berjam-jam penyelarasan manual dan mengurangkan masa serta campur tangan manusia dengan ketara, di situlah AI mula menghasilkan nilai perniagaan yang boleh diukur,” ujarnya.
Perkembangan ini mencerminkan perubahan yang lebih luas dalam kalangan perniagaan iaitu daripada sekadar bereksperimen dengan AI kepada mencari kaedah praktikal untuk mengintegrasikan AI dalam operasi harian.
Dalam pada itu, Kezy percaya kelebihan daya saing pada masa hadapan tidak hanya bergantung kepada siapa yang mempunyai akses kepada model AI terkini, tetapi kepada sejauh mana sesebuah perniagaan mampu mengintegrasikan kecerdasan ke dalam operasi sebenar.
“AI sedang meratakan padang persaingan, kelebihan akan datang daripada keupayaan memahami di mana teknologi boleh mencipta nilai sebenar dan mereka bentuk semula perniagaan berdasarkan peluang tersebut,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
The post Lebih 5,000 permohonan diterima sertai program Exodus A.C.T. appeared first on Kosmo Online.
