Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Penyanyi yang juga peserta Big Stage Rocketfuel Danny mengakui rasa gementar masih menjadi cabaran terbesar buat dirinya setiap kali sebelum membuat persembahan di pentas.
Danny, 24, berkata, buat ketika ini, dia masih belajar cara untuk menangani perkara tersebut bagi memastikan tidak memberi kesan besar terhadap persembahannya.
“Saya memang ada masalah gemuruh yang susah nak dikawal, ketika di belakang pentas, tangan memang sejuk sepanjang masa.
“Harap bila dah berjaya ke pentas separuh akhir ini, rasa gugup dan gemuruh itu akan perlahan-lahan berkurangan.
“Sebenarnya lebih kepada berdebar untuk bertanding, bukan menyanyi,” katanya kepada Kosmo! Online di sini semalam.
Dalam pada itu, dia memberitahu tidak mempunyai pengalaman bertanding di pertandingan yang besar juga antara faktor rasa gemuruh tersebut sangat menebal dalam dirinya.
“Saya tak pernah masuk pertandingan seperti orang lain, kemudian tiba-tiba dapat pentas besar macam begini — memang rasa takut.
“Kemudian selepas tengok peserta lain dah mula tunjuk ‘taring’ masing-masing, saya jadi lebih gementar.
“Insya-Allah minggu ini saya akan cuba tunjuk ‘taring’ pula dengan lagu tradisional,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai berada di kedudukan tiga tercorot pada konsert suku akhir semalam, dia bersyukur kerana tiada sebarang penyingkiran berlaku.
“Saya sebenarnya sudah rasa akan terkeluar sebab persembahan saya agak kurang baik.
“Namun, rasa sangat lega bila tiada penyingkiran diumumkan. Dapat melangkah ke peringkat separuh akhir pun saya dah bersyukur,” ujarnya.
Selain Danny, tujuh lagi peserta yang bakal berentap di pentas separuh akhir ialah Ranisha, Adam Nazmie, Qilo, Hussain, Yad-Z, Aliff Kimiey dan Danial Kifli.
Kesemua peserta diadili oleh tiga juri tetap iaitu Hael Husaini, Akim Ahmad dan Aisha Retno. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih berdebar untuk bertanding, bukan menyanyi – Danny appeared first on Kosmo Digital.






