Auto Added by WPeMatico

![]()
BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pegawai kanan pertahanan negara itu dilaporkan berada dalam keadaan kelam-kabut selama beberapa jam pada Sabtu.
Situasi itu berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara mengejut membatalkan serangan ketenteraan bersama yang dirancang terhadap Iran tanpa memaklumkan keputusan itu terlebih dahulu kepada Israel.
Menurut laporan media Israel pada Ahad, pegawai tentera Israel hanya mengetahui keputusan tersebut menerusi catatan Trump di platform media sosialnya, Truth Social.
“Selama beberapa jam kami benar-benar berada dalam keadaan tidak pasti,” kata seorang pegawai kanan kepada saluran televisyen Channel 12.
“Presiden Trump membiarkan kami dalam keadaan kabur. Pegawai kanan hanya mendapat maklumat mengenai apa yang berlaku melalui media sosial Trump,” katanya.
Pendedahan itu dilihat sebagai satu keretakan ketara dalam penyelarasan antara kedua-dua sekutu pada saat genting konflik yang telah mengubah landskap Asia Barat sejak AS dan Israel melancarkan operasi ketenteraan bersama terhadap Iran pada penghujung Februari.
Trump, mengumumkan pada Sabtu menerusi platform Truth Social bahawa beliau bersetuju membatalkan serangan yang dirancang selepas Iran dan negara-negara lain di Asia Barat meminta lebih banyak masa untuk memuktamadkan rangka kerja keamanan. – AGENSI
The post Trump tidak beritahu Netanyahu AS-Israel batal serang Iran appeared first on Utusan Malaysia.
