Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Gabungan cuaca panas, jerebu dan aktiviti fizikal lasak boleh menjadi ‘perangkap maut’ apabila tubuh dipaksa menghasilkan dan menanggung haba pada kadar yang melebihi kemampuan untuk menyejukkannya.
Lebih membimbangkan, keadaan itu boleh berlaku kepada individu muda dan cergas yang merasakan tubuh mereka masih mampu bertahan, sedangkan fungsi otak mungkin sudah mula terjejas sehingga menjejaskan keupayaan membuat keputusan untuk berhenti.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani berkata, apabila suhu teras badan meningkat secara melampau, haba boleh menyebabkan kerosakan kepada sel dan protein selain mencetuskan keradangan, gangguan peredaran darah serta ketidakseimbangan elektrolit.
Ujarnya, gabungan proses itu menyebabkan fungsi otak terganggu sehingga seseorang boleh mengalami perubahan tingkah laku, kekeliruan dan hilang koordinasi sebelum menjadi lebih serius seperti sawan, tidak sedarkan diri, koma serta kerosakan pelbagai organ.
Katanya, strok haba boleh berlaku dengan cepat apabila aktiviti fizikal lasak dilakukan dalam keadaan suhu persekitaran tinggi dan kelembapan yang mengurangkan keupayaan tubuh membuang haba, ditambah keletihan serta kehilangan cecair dan elektrolit.
“Pada satu tahap, mekanisme kawalan badan gagal dan keadaan boleh berubah daripada keletihan kepada strok haba serta kegagalan organ dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam
Beliau berkata, keadaan menjadi lebih berisiko apabila jerebu berlaku serentak kerana haba meningkatkan tekanan terhadap sistem kardiovaskular, manakala jerebu pula menambah tekanan terhadap sistem pernafasan dan kardiovaskular.
“Semasa aktiviti lasak, tubuh menghasilkan lebih banyak haba dan individu akan bernafas lebih cepat serta lebih dalam, sekali gus meningkatkan jumlah bahan pencemar yang disedut.
“Gabungan haba, jerebu dan aktiviti lasak boleh meningkatkan tekanan fisiologi keseluruhan serta mengurangkan keupayaan tubuh menyesuaikan diri dengan persekitaran,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut, manakala lapan lagi rebah ketika Program Komander Kesatria Endurance Challenge UiTM Se-Malaysia 2026 di Kampus UiTM Jengka, Jumaat lalu.
Sementara itu, Pensyarah Perubatan Biokimia, Jabatan Biokimia Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nuraqilah Mohd. Murshid berkata, strok haba akibat aktiviti fizikal boleh berlaku apabila otot menghasilkan haba jauh lebih cepat daripada kemampuan badan membuangnya.
“Ketika senaman berat, penghasilan haba boleh meningkat antara 15 hingga 20 kali ganda berbanding ketika berehat, manakala kelembapan tinggi pula menghalang penyejatan peluh yang merupakan mekanisme utama badan untuk menyejukkan diri.
“Strok haba eksersional bukan penyakit orang yang lemah. Mangsanya selalunya individu muda, cergas dan bersemangat tinggi seperti atlet, rekrut tentera dan peserta program ketahanan.
“Kecergasan bukan perisai. Ia hanya membolehkan seseorang terus bergerak lebih lama sebelum badannya akhirnya mengalah,” jelasnya.
Beliau berkata, risiko lebih banyak ditentukan keadaan badan pada hari kejadian termasuk dehidrasi, kurang tidur, tidak cukup tempoh aklimatisasi terhadap haba, demam atau jangkitan, pemakaian atau kelengkapan tebal serta penggunaan suplemen berstimulan.
“Antara perkara paling kritikal ialah mangsa mungkin gagal menyedari tanda awal kerana hipertermia boleh menjejaskan otak yang sepatutnya menentukan keputusan untuk berhenti.
“Antara tanda awal boleh diperhatikan adalah perubahan tingkah laku dan kekeliruan. Jawapan yang tidak munasabah atau percakapan pelat, cepat marah, bertindak luar tabiat, langkah goyah, senget atau tersasar dari laluan serta alami sakit kepala, pening dan loya.
“Dalam strok haba eksersional, kulit mangsa selalunya masih berpeluh. Menunggu kulit menjadi kering sebelum bertindak merupakan kesilapan yang boleh meragut nyawa,” katanya.
Tambahnya, apabila jerebu turut berlaku, peningkatan kadar pernafasan ketika bersenam menyebabkan individu menyedut lebih banyak bahan pencemar seperti zarah halus PM2.5 jauh ke dalam saluran pernafasan.
The post Panas, jerebu, aktiviti lasak jadi ‘perangkap maut’ appeared first on Kosmo Digital.
