Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Saman RM1 juta difailkan keluarga seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang cedera parah di bahagian tulang belakang akibat ditarik kerusi di sekolah dua tahun lalu ditolak Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Anita Harun membuat keputusan itu selepas mendapati keluarga mangsa gagal membuktikan kecuaian enam defendan serta hubungan punca dan kesan yang menyebabkan kecederaan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos RM10,000 keseluruhan kepada enam defendan merangkumi tiga guru iaitu Ilyana Sari Ridzuan, Suhaida Abdul Rahman dan Aizam Naim Mohd Junid selain guru besar, Hamidah Shamsudin dan Kementerian Pendidikan serta Kerajaan Malaysia.
Dalam prosiding, semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Afiq Nazrin Zaharinan.
Berdasarkan tuntutan, plaintif pertama ialah remaja terbabit manakala plaintif kedua bapanya, Wan Amey Shahril Wan Ab. Rahman.
Dalam penghakimannya, Anita berkata plaintif pertama menghadiri program pendidikan khas di sebuah sekolah kebangsaan di Shah Alam sebelum terjatuh pada 12 Oktober 2023 dan mengalami patah tulang femur kiri.
Katanya, plaintif-plaintif mendakwa berlaku kecuaian serta pelanggaran kewajipan berhati-hati (duty of care) terhadap murid berkenaan, namun masih perlu membuktikan kecuaian itu menjadi punca kerugian berdasarkan imbangan kebarangkalian.
“Guru mempunyai kewajipan berhati-hati untuk menjaga murid, namun kewajipan itu bukan satu jaminan terhadap setiap kecederaan,” katanya.
Berhubung isu pengawasan, Anita berkata, defendan pertama mengakui pergi ke tingkat bawah seorang diri dan tumpuannya ketika itu terbahagi, namun dakwaan bahawa kehadiran dua guru diwajibkan tidak berjaya dibuktikan.
Beliau berkata, keseluruhan keterangan juga tidak menunjukkan nisbah pengawasan ketika itu tidak munasabah atau terdapat langkah berhati-hati yang wajar tetapi diabaikan sehingga menjadi punca kejadian.
“Versi plaintif pertama bahawa kejadian itu berlaku akibat tidak menerima pengawasan ketika jatuh sehingga menyebabkan kecederaan tersebut tidak terbukti,” katanya.
Berhubung kronologi kejadian, beliau berkata terdapat perbezaan anggaran masa antara rekod perubatan dan keterangan ibu mangsa, namun mahkamah mengambil kira kedua-duanya sebagai anggaran.
Anita berkata, tindakan guru memberikan bantuan, menghubungi ibu mangsa dan membenarkan mangsa dibawa pulang tidak boleh dianggap tidak munasabah kerana prosedur sekolah tidak mewajibkan penggunaan ambulans.
Mahkamah turut mendapati keterangan perubatan mengesahkan kecederaan sekunder yang memerlukan rawatan, namun pendapat salah seorang saksi tidak cukup untuk membuktikan kesakitan tambahan itu berpunca daripada kecuaian atau sesuatu yang boleh dijangkakan.
“Saya telah mempertimbangkan sama ada tindakan menunggu atau kedudukan duduk, pengendalian dan pengambilan telah meningkatkan atau memanjangkan kesakitan plaintif pertama.
“Keterangan mengesahkan kesakitan berterusan berpunca daripada kejadian jatuh tersebut. Walau bagaimanapun, berdasarkan keterangan secara keseluruhannya, saya tidak diyakinkan bahawa pengendalian yang didakwa itu adalah punca berasingan kepada kesakitan ketara yang boleh diambil tindakan undang-undang,”katanya.
Justeru, kata Anita, tindakan plaintif-plaintif terhadap kesemua defendan adalah ditolak dengan tiada anugerah untuk faedah atau ganti rugi terpakai di bawah penghakiman ini.
“Kesimpulan ini tidak menafikan kecederaan plaintif pertama atau kesusahan keluarganya. Ia mencerminkan kegagalan untuk membuktikan kesalahan dan hubungan punca dan kesan yang diperlukan oleh undang-undang,” jelasnya.
Sementara itu, Peguam Soffian Azmir mewakili plaintif ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.
” Kami tidak bersetuju dan percaya telah terkhilaf selain akan membuat rayuan secepat mungkin atas sebab kerana beberapa hujahan tidak ditegaskan atau dinyatakan mahkamah.
“Sepatutnya di kelas pendidikan khas diberikan lebih pengawasan namun tidak diberikan,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan insiden itu didedahkan ibu remaja tersebut menerusi aplikasi TikTok sebelum keluarga mengambil tindakan saman terhadap enam defendan susulan kecederaan dialami anaknya yang ketika itu berusia 12 tahun. – KOSMO! ONLINE
The post Saman 1 juta mangsa cedera tulang belakang ditarik kerusi ditolak appeared first on Kosmo Online.
