Auto Added by WPeMatico

BENTONG – “Dalam 10 minit sahaja air sudah masuk rumah,” itu detik cemas dialami penduduk Kampung Cheringin Tengah, Janda Baik di sini, Masrizal Sallehudin, 51, apabila air naik secara mendadak susulan hujan lebat petang tadi.
Kejadian menyebabkan sebuah kereta dan motosikal miliknya tidak sempat dialihkan ke tempat tinggi dan ditenggelami banjir.
Katanya, hujan bermula kira-kira pukul 3.30 petang sebelum keadaan bertukar buruk apabila air mula naik dengan pantas kira-kira pukul 5 petang.
“Memang hujan luar biasa lebat, air naik terlalu cepat, dalam tempoh kira-kira 10 minit sahaja. Kami ketika itu sibuk mengangkat barang elektrik, tetapi tidak sempat menyelamatkan semuanya. Kereta dan motosikal pun tidak sempat dialihkan,” katanya di sini hari ini.
Masrizal berkata, paras air di luar rumahnya mencecah lutut sebelum memasuki kediaman yang terletak kira-kira 30 meter dari sungai.

Tambahnya, antara barangan yang terjejas termasuk mesin basuh yang hampir dihanyutkan air, selain barangan elektrik lain yang ditenggelami air.
Menurutnya, meskipun bukan pertama kali kediamannya dilanda banjir, namun keadaan kali ini berbeza kerana air naik lebih tinggi dan begitu pantas.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Kamarul Azzra J.C. Rais, 39, berkata, dia sempat membuat persiapan selepas mendengar siren amaran banjir dibunyikan di kampung berkenaan.
“Saya ada dengar siren kampung dikeluarkan, jadi saya sekeluarga buat persiapan termasuk mengalihkan barang penting ke tempat tinggi.
“Sampai maghrib pun hujan masih turun secara renyai walaupun air sudah mula surut, ia meninggalkan lumpur,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Janda Baik banjir, 10 minit air penuh rumah appeared first on Kosmo Online.
