Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Penyertaan kali pertama membawa tuah kepada Terry Tom Bejiod @ Mohammad Hanaffi apabila muncul juara PJ Joran 2026 selepas menaikkan ikan keli seberat 6.740 kilogram (kg) di Tasik Bandaran Kelana Jaya, di sini semalam.
Mohammad Hanaffi, 45, dari Puchong menggunakan hati ayam sebagai umpan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 selepas tangkapannya muncul sebagai ikan terberat dalam pertandingan tersebut.
Menurutnya, dia pada mulanya tidak merancang menyertai pertandingan berkenaan, namun akhirnya mengambil bahagian selepas dipujuk anaknya.
“Ini kali pertama saya menyertai pertandingan ini dan tidak sangka terus menjadi juara. Anak yang memaksa saya menyertainya dan saya sangat gembira. Kemenangan ini saya kongsi bersama keluarga,” katanya.
Tempat kedua dimenangi Azrul Amrie Mohd. Zailani, 27, dari Gombak yang membawa pulang RM2,000 selepas menaikkan ikan keli seberat 6.390 kg menggunakan umpan cacing.
Mislan Mohd. Jawahar, 60, dari Kajang pula menduduki tempat ketiga dengan tangkapan ikan keli seberat 5.190kg menggunakan umpan cacing sekali gus menerima hadiah RM1,000.

PJ Joran 2026 yang merupakan aktiviti tahunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan memasuki tahun kelapan penganjurannya itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 640 peserta.
Peserta terdiri daripada kaki pancing dari Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak, sekali gus melepasi sasaran awal penganjur seramai 500 peserta.
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharinaz Samsudin berkata, selain menjadi aktiviti riadah bersama keluarga, program berkenaan turut bertujuan membantu membersihkan tasik serta memelihara ekosistem air.
Menurutnya, pertandingan itu juga menjadi antara usaha mengawal pembiakan spesies ikan larangan antaranya keli Afrika, ikan raja dan tilapia yang terdapat di tasik berkenaan.
Sepanjang pertandingan, hampir 300 ekor ikan berjaya didaratkan peserta termasuk tilapia, baung, ikan raja, ketutu dan haruan.
The post Naikkan keli 6.740 kilogram bawa pulang RM7,000 appeared first on Kosmo Online.
