Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank) memeterai Perjanjian Pelaksanaan (IA) dengan Ageas Insurance International NV (Ageas) untuk memiliki baki 30.95 peratus kepentingan dalam Maybank Ageas Holdings Berhad (MAHB) bernilai RM4.83 bilion.
Langkah itu bakal menyaksikan Maybank memegang 100 peratus pegangan saham dalam MAHB berbanding 69.05 peratus pegangan yang dimiliki syarikat perbankan itu ketika ini.
MAHB merupakan syarikat induk bagi perniagaan Etiqa di Malaysia dan Singapura yang menyediakan rangkaian produk insurans hayat, am serta takaful keluarga dan am menerusi pelbagai saluran pengedaran.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Sri Khairussaleh Ramli berkata, pengambilalihan penuh itu merupakan permulaan penting bagi strategi ROAR30 Maybank dalam meluaskan penembusan pelanggan di peringkat serantau serta memperkukuh Etiqa sebagai juara nasional.
“Urus niaga ini merupakan satu pencapaian penting bagi Maybank dalam merangka fasa pertumbuhan seterusnya bagi perniagaan insurans dan takaful di seluruh Asia Tenggara.
“Kami akan terus melabur dalam inovasi serta memanfaatkan keupayaan digital bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi dan memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, cadangan pengambilalihan disokong oleh empat rasional strategik utama iaitu memperkukuh kedudukan MAHB sebagai peneraju insurans dan takaful menerusi penembusan pangkalan pelanggan Maybank, selain memacu keutamaan pertumbuhan takaful di mana MAHB kini merupakan penyedia takaful keempat terbesar di dunia.
Langkah berkenaan turut memberikan fleksibiliti lebih besar untuk berkembang di Asia Tenggara menerusi proposisi kekayaan serantau ROAR30, meningkatkan nilai jangka panjang mampan dari segi Keuntungan Bersih Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI), Perolehan Sesaham (EPS) dan Pulangan atas Ekuiti (ROE), serta meningkatkan kecekapan pengurusan modal Kumpulan.
Harga pembelian RM4.83 bilion itu dipersetujui selepas pelarasan dividen RM800 juta yang dicadangkan untuk dibayar oleh MAHB pada tarikh penyelesaian, mencerminkan nisbah harga kepada nilai buku sebanyak 1.98 kali dan nisbah harga kepada pendapatan 15.3 kali.
Maybank akan membiayai cadangan pengambilalihan berkenaan menerusi gabungan sumber pembiayaan dalaman dan luaran.
Permohonan rasmi kini telah dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan kelulusan pengawal selia.
Menerusi urus niaga itu, Maybank Investment Bank bertindak sebagai penasihat kewangan manakala Morgan Stanley Asia (Singapore) Pte. sebagai penasihat kewangan antarabangsa. – UTUSAN
The post Maybank bakal miliki sepenuhnya Maybank Ageas pada nilai RM4.83 bilion appeared first on Utusan Malaysia.
