Auto Added by WPeMatico
Menangis MAHA tamat, Mat Sabu bakal jumpa peminat cilik

![]()
PETALING JAYA – Gara-gara menangis kerana sedih Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2026 sudah berakhir, seorang kanak-kanak bukan sahaja mencuri perhatian ramai, malah turut mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Lebih mengujakan, kanak-kanak berkenaan kini bakal bertemu sendiri dengan Mohamad atau lebih mesra disapa Mat Sabu pada minggu hadapan.
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan ibu kanak-kanak berkenaan menerusi akaun Threads @janatunmaqwa hari ini.
Menurut wanita itu, Mohamad atau lebih mesra disapa Mat Sabu dijadualkan bertemu anaknya selepas kisah kanak-kanak tersebut mencuri perhatian sebelum ini.
“Korang, ingat tak saya ada muat baik video anak saya menangis sebab MAHA dah habis tu. Minggu depan YB Mat Sabu nak datang jumpa. Weh takut!,” tulisnya.
Hantaran berkenaan sekali lagi mencuri perhatian pengguna media sosial yang rata-rata teruja dengan perkembangan tersebut.
Seorang pengguna, @umminoratikah berkata, dia percaya Mohamad sememangnya mesra dengan kanak-kanak berdasarkan pengalamannya terserempak dengan menteri berkenaan ketika MAHA.
“Saya rasa YB memang jenis suka budak. Saya pergi MAHA hari terakhir hari itu, rezeki jumpa dan bergambar dengan YB.
“Dia tak habis-habis usap pipi dan rambut anak saya sambil tanya sekolah darjah berapa,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @eda_suriani pula tidak sabar menantikan pertemuan berkenaan dan meminta wanita itu berkongsi perkembangan selanjutnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan gelagat kanak-kanak berkenaan yang menangis selepas mengetahui MAHA 2026 sudah berakhir sehingga mendapat perhatian Mohamad.
Ketika itu, Mohamad turut meninggalkan pesanan memujuk kanak-kanak tersebut selain berterima kasih kepada ibu bapanya kerana membawa anak mereka ke MAHA 2026.
“Jangan teriak dik. Sedih Pak Mat tengok. Terima kasih ibu ayah sebab bawa anak-anak ke MAHA 2026.
“Bila anak-anak seronok, dapat belajar dan balik dengan kenangan macam ini, rasa berbaloi segala usaha kita. Insya-Allah kita jumpa lagi na,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Menangis MAHA tamat, Mat Sabu bakal jumpa peminat cilik appeared first on Kosmo Online.

