Auto Added by WPeMatico

![]()
IPOH – Seorang tukang kebun yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, kali ini atas pertuduhan cubaan merogol bekas teman wanitanya.
Tertuduh, Mohammad Farizzal Fazly Mohd. Zulkifly, 30, bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan cubaan merogol ke atas seorang wanita berusia 25 tahun di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara di kawasan kebun kelapa sawit di Seberang Perak, Kampung Gajah pada pukul 5 pagi, 10 Jun 2026.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Mohammad Farizzal Fazly yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman paling ringan terhadapnya.
“Saya bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah di Batu Kikir, Negeri Sembilan dengan gaji RM1,500 sebulan. Ayah bekerja kampung manakala ibu seorang suri rumah. Saya anak kedua daripada sembilan beradik. Saya mohon hukuman yang paling ringan, tempoh penjara yang singkat dan sebatan pada kadar minimum. Saya benar-benar insaf dan menyesal atas perbuatan saya,” katanya.
Hakim Jean Sharmila kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkap pada 11 Jun lalu selain dikenakan tiga sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani hukuman penjara serta mengikuti sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya.
Terdahulu, di Mahkamah Majistret Batu Gajah, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Muhammad Fahmi Abdullah, 29.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Julai depan untuk sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE
The post Tukang kebun dipenjara empat tahun, tiga sebatan angkara perangai ‘miang’ appeared first on Kosmo Digital.
