Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Teruk dikecam, pelakon, Kilafairy tampil membuat permohonan maaf secara terbuka atas keterlanjuran katanya ketika mengulas isu pembunuhan seekor anjing bernama Rocky.
Menurut Kila atau Syakila Nisha Jangir Khan, dia sedar penggunaan bahasa yang dihamburkan bersifat keterlaluan dan kasar, malah turut berlapang dada menerima setiap teguran dari warganet.
“Pertama sekali, saya mahu minta maaf atas pemilihan kata-kata yang saya gunakan di Threads beberapa hari lepas. Apabila saya tengok semula perkongsian itu, ya ianya sangat kasar.
“Maaf semua, saya hanyalah manusia, tidak sempurna dan masih belajar menjadi seorang yang lebih baik dari hari ke hari.
“Terima kasih juga kepada semua yang menegur dan menasihati Kila secara peribadi dan tertutup. Saya sangat hargainya,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam masa sama, pelakon drama Dendam Aurora itu berharap agar semua pihak dapat menanamkan sifat ihsan terhadap haiwan dan mengendalikan sebarang situasi secara adil dan harmoni.
“Saya juga sudah meneliti penjelasan daripada kedua dua belah pihak mengenai kes Rocky ini. Pada akhirnya, apa yang saya harapkan ialah apabila berlakunya kes seperti ini, semua pihak dapat mengendalikan situasi tersebut dengan adil dan penuh harmoni.
“Semoga kita semua terus berusaha membina dunia yang lebih baik, penuh dengan sifat ihsan, belas kasihan dan keadilan terhadap semua makhluk ciptaan Allah di muka bumi ini, sama ada manusia mahupun haiwan.
“Sebarkan kasih sayang, bukan kebencian. Sekali lagi, saya mahu minta maaf atas pemilihan kata-kata yang sangat teruk yang menyinggung ramai pihak, sayang semua dan terima kasih kerana menasihati saya,” tulisnya.
Gara-gara terlalu emosi dalam membela nasib seekor anjing yang teraniaya, Kila menerusi sebuah hantaran di Threads telah menghamburkan kata-kata yang bersifat keterlaluan terhadap seorang individu yang didakwa melakukan kekejaman terhadap haiwan tersebut.
Perkongsian tersebut sekali gus meraih sorotan ramai, malah ada yang menegur sikap aktres itu yang terlalu kasar dalam menghakimi seseorang tanpa usul periksa.
The post Dikecam guna kata-kata kesat, Kilafairy mohon maaf appeared first on Utusan Malaysia.

