Auto Added by WPeMatico

Pertama kali menembusi pasaran perfileman Malaysia, aktor popular Indonesia, Adipati Dolken mengakui komitmennya bukan sekadar terikat dengan kerjaya seni semata, sebaliknya perlu belajar menyesuaikan diri dengan budaya di sini, termasuklah perihal pemakanan yang jauh berbeza dari negara kelahirannya.
Mengakui dirinya seorang yang cerewet, Adipati atau Adipati Koesmadji memberitahu bahawa dirinya tidak gemar makan kari atau makanan berempah.
Katanya, sepanjang lebih 50 hari menjalani penggambaran di Perlis, dia hanya mengalas perutnya dengan makanan yang hanya mahu dimakan sahaja.
“Sebenarnya saya sangat cerewet tentang makanan. Kalau saya tidak suka sesuatu makanan, saya memang tidak akan makan. Saya tidak suka kari dan saya juga tidak gemar makanan yang mempunyai terlalu banyak rempah.
“Jadi, apabila dihidangkan makanan seperti itu, saya akan fikir saya tidak boleh makan makanan tersebut. Banyak hari saya hanya makan makanan yang sama sahaja kerana pilihan saya sangat terhad. Tetapi ada juga hikmahnya. Ia membuatkan saya berdiet,” selorohnya.

Bagaimanapun, pelakon berusia 35 tahun itu menganggap pengalaman membintangi filem Mojoku Hilang! membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya serta lebih memahami akan selok-belok industri tanah air.
Tambah Adipati, pengalamannya bekerja buat kali pertama menerusi filem tempatan sangat jauh berbeza berbanding industri perfileman Indonesia.
Namun, pengalaman itu dianggap sebagai satu proses pembelajaran yang membuatkan dia tidak menutup pintu hatinya untuk kembali menyerikan industri perfileman Malaysia.
“Sebenarnya, yang berbeza hanyalah jumlah kru. Di Indonesia, jumlah kru boleh mencecah 200 hingga 300 orang. Tetapi di Malaysia, berdasarkan pengalaman saya, jumlahnya tidak sampai pun 100 orang. Jadi, pasukannya lebih kecil dan lebih padat.
“Namun saya rasa itu cuma gaya penggambaran yang berbeza. Semuanya tetap berjalan lancar. Walaupun jumlah kru lebih kecil, hasil kerjanya tetap sama baik.
“Selain itu, budaya kerjanya juga agak berbeza. Tetapi apabila saya berbincang dengan pengarah mengenai skrip dan watak, selagi saya memahami apa yang ingin disampaikan dan kami dapat berkomunikasi dengan baik, semuanya terasa sama seperti saya menjalani penggambaran di Indonesia.
“Bagi saya, semuanya bergantung kepada hubungan dan keserasian. Sama ada saya berada di Indonesia, Malaysia atau di mana-mana sahaja, selagi hubungan itu wujud, saya pasti mahu bekerja di situ,” kongsinya.
Dalam masa sama, aktor versatil itu juga sentiasa terbuka untuk menerima sebarang tawaran sekiranya naskhah yang ditawarkan memenuhi kriteria yang diinginkannya.
Menurutnya, pengalaman bekerja bersama produksi tempatan memberikan keyakinan untuk terus mengembangkan kerjaya lakonannya merentasi negara.
“Ya, sudah tentu. Saya sangat terbuka. Kalau ada peluang lagi, selagi filemnya bagus, skripnya berkualiti dan memenuhi semua kriteria dalam senarai semak saya, kenapa tidak? Saya sentiasa terbuka menerima setiap peluang yang datang,” ujarnya.
The post Adipati Dolken tidak suka makan kari,seronok selami budaya kerja perfileman Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.











