Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Penglibatan individu berprofil tinggi termasuk golongan profesional sebagai keldai dadah menunjukkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini mengubah strategi dengan menyasarkan mereka yang memiliki tahap kepercayaan tinggi dalam masyarakat.
Pakar Kriminologi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zalmizy Hussin berkata, sindiket tidak lagi hanya merekrut individu yang terdesak daripada segi kewangan, sebaliknya turut menyasarkan golongan seperti juruterbang, doktor, ahli perniagaan dan profesional lain kerana mereka dianggap mempunyai kredibiliti serta kurang menimbulkan syak wasangka.
Menurut beliau, pendekatan itu merupakan evolusi baharu dalam modus operandi sindiket yang boleh disifatkan sebagai ‘profesionalisasi keldai dadah’.
“Dahulu sindiket cari orang terdesak. Sekarang dia cari orang yang orang lain percaya. Sebab itu lebih selamat untuk mereka.
“Sindiket tak cari penganggur lagi. Cari juruterbang, doktor, cikgu. sebab bila kena tangkap, orang tidak akan syak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, seorang juruterbang warga Malaysia yang didapati positif methamphetamine, MDMA dan kokain selepas menerbangkan sebuah pesawat penumpang Malaysia Airlines ke Indonesia berdepan hukuman mati kerana didakwa menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi di dalam bagasinya.
Beliau berkata, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan rakyat Malaysia, termasuk golongan profesional, masih mudah diperalatkan sindiket.
Katanya, faktor pertama ialah tekanan kewangan dan tawaran lumayan yang dikemukakan sindiket.
“Sindiket tawarkan bayaran besar antara RM50,000 hingga RM150,000 untuk sekali jalan. Bagi yang ada hutang, bisnes tengah susah atau nak kejar gaya hidup, tawaran ini nampak macam jalan keluar.
“Lebih membimbangkan, sindiket tidak terus memaklumkan bahawa mereka membawa dadah. Sebaliknya, mereka menyamar dengan menawarkan tugasan menghantar dokumen atau barangan yang kononnya sah,” katanya.
Menurut beliau, faktor kedua ialah kelebihan ‘kebal’ dalam kalangan individu yang mempunyai reputasi baik.
Katanya, golongan profesional sering ada kelebihan daripada segi kepercayaan awam, rekod bersih atau kemudahan tertentu yang dimiliki mampu mengelakkan mereka daripada menjadi sasaran pemeriksaan.
“Persepsi inilah yang dimanipulasi sindiket. Mereka meyakinkan mangsa bahawa individu seperti mereka tidak akan disyaki pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, sindiket juga kini menggunakan pendekatan psikologi dengan membina hubungan dalam tempoh yang panjang sebelum memperdaya mangsa.
“Mereka tidak lagi menggunakan ugutan. Sebaliknya, mereka berkawan, menawarkan peluang pelaburan atau pekerjaan di luar negara dan membina kepercayaan selama beberapa bulan.
“Bila mangsa sudah rasa selesa dan terhutang budi, barulah diminta tolong bawa ‘barang’. Pada tahap itu, ramai yang malu nak undur diri atau buat laporan,” katanya. – UTUSAN
The post Keldai dadah: Sindiket kini sasar golongan profesional appeared first on Utusan Malaysia.











