Auto Added by WPeMatico

TAHUN 1980-an sehingga 1990-an menyaksikan perkembangan pesta ria atau lebih dikenali sebagai fun fair yang dianjurkan secara bergerak di seluruh Malaysia.
Ramai orang, terutamanya penduduk luar bandar yang datang ke tapak pesta tersebut yang dianggap sebagai wadah hiburan seisi keluarga.
Bagi kebanyakan selebriti, fun fair lebih sekadar pusat hiburan. Ia dianggap sebagai ‘lubuk’ yang menawarkan pendapatan cukup lumayan.
Seniwati, Maria Arshad menjadi antara selebriti yang dikatakan menjadi ‘penarik’ masyarakat ke pesta ria ketika ia popular sekitar penghujung tahun 1980-an.
Katanya, pendapatan yang diperoleh hasil membuat persembahan di tapak pesta ria itu dijadikan sebagai menambah pendapat lakonan, sekali gus memberi kecukupan kepada beliau untuk menyara keluarga.
“Dulu, saya bersama pelakon, Sukarni Jaafar sering menyertai pelakon, Armaya Aman Ramlie atau A.R. Badul membuat persembahan di pesta ria seluruh Malaysia, antaranya Johor dan Perak.
“Kami dibayar RM450 untuk menghiburkan penonton, dengan jadual persembahan sebanyak dua kali dalam seminggu. Meskipun menerima bayaran yang agak kecil, kekerapan persembahan berterusan dalam sebulan membuat bayaran yang sedikit berjaya dikumpul menjadi banyak.
“Dengan duit hasil persembahan di pesta ria itulah saya menyara keluarga, membeli makan minum dan membayar kereta secara ansuran,” katanya kepada Pancaindera.
Cerita Maria lagi, ramai artis yang pernah membuat persembahan di tapak pesta antaranya Allahyarham Sharifah Aini, Allahyarham Azean Irdawati, Awie dan Amy Search.

Katanya, pesta tersebut diibaratkan pentas yang besar untuk artis mengaut keuntungan.
“Bayaran gaji hasil persembahan di fun fair dapat menambah gaji yang diperoleh artis, tidak kira pelakon mahupun penyanyi.
“Tambah lagi, artis yang wajahnya sinonim dengan pesta ria tersebut akan lebih dikenang dan bertahan dalam industri seni kerana wajah mereka sentiasa diingati,” ujarnya.
Sementara itu, Maria juga mengenang memori ketika membuat persembahan lakonan di tapak pesta yang dihadiri lautan manusia sekitar penghujung era 80-an.
“Rekod tontonan paling ramai adalah di Ipoh, Perak dengan kehadiran lautan manusia seluas pemandangan. Waktu itu penganjur meletakkan wajah saya bersama Sukarni Jaafar dalam poster persembahan kami bersama Badul,” katanya lagi.

KEPUTUSAN BERHENTI BERLAKON ATAS KEHENDAK SENDIRI
Maria Arshad dibesarkan oleh seorang pegawai tentera manakala ibunya bergelar suri rumah tangga sepenuh masa.
Beliau, ketika kecil mengikuti keluarga untuk berpindah dari Jalan Padang Tembak ke Ulu Klang selepas bapanya bersara serta dihadiahkan sebidang tanah di kawasan itu.
Maria menceburi bidang lakonan pada tahun 1981 dengan filem pertamanya Langit Tidak Selalu Cerah disamping Mokhtaruddin dan Uji Rashid.
Pada tahun yang sama beliau muncul dalam filem Sumpah Semerah Padi yang diarahkan sutradara terkenal Allahyarham M. Amin.

Maria mendirikan rumah tangga bersama suami pertamanya yang dikenali sebagai Jo. Namun mereka bercerai selepas beberapa tahun bersama. Selepas enam tahun dan lapan filem, Maria akhirnya memutuskan untuk bersara daripada bidang lakonan.
“Bekas suami tidak pernah menghalang pembabitan saya dalam bidang lakonan, keputusan itu diambil atas kehendak saya sendiri.
“Sebenarnya berlakon ini lebih banyak menunggu, saya tidak mahu orang lain terbeban jika saya lambat ke set penggambaran. Jadi, sebab itu saya mengambil keputusan untuk berhenti berlakon.
“Filem Keluarga 99 merupakan filem terakhir saya dan selepas itu saya berhenti daripada lakonan untuk memberi tumpuan kepada keluarga,” katanya.
Maria memaklumkan industri drama dan perfileman menunjukkan perbezaan ketara di mana sekarang lebih mudah dengan adanya teknologi yang banyak membantu.
“Banyak bezanya, kalau dulu terlalu banyak proses, selepas penggambaran filem perlu disunting dan jika ada kesalahan perlu melakukan dubbing.
“Sekarang proses itu dipendekkan dan proses penggambaran juga menjadi lebih mudah dengan penggunaan lebih daripada satu kamera,” kongsinya.

TIADA PENYAKIT TIGA SERANGKAI
Selepas kematian suami keduanya, Arwah Datuk Abdul Rahman Abu Bakar pada tahun 2022, Maria sekali lagi diuji pada Disember 2023 apabila dia dimasukkan ke hospital akibat kekejangan badan.
Maria memaklumkan dia ketika itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan lebih mengejutkan lagi apabila beliau selama ini hidup dengan paru-paru yang tidak sempurna bentuknya.
“Doktor yang membuat ujian sinar x mendapati bentuk paru-paru saya tidak sempurna dengan ketiadaannya di bahagian kiri.
“Mungkin sebab itu saya tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja berat, bersenam dan berjalan jauh.
“Tapi keajaiban berlaku apabila saya diberi kekuatan untuk pergi melancong dan menziarah anak saya,” ujarnya.
Maria turut mengalami penurunan berat badan secara drastik akibat masalah kesihatan tersebut.
“Pada awalnya doktor kehairanan berat saya turun mendadak, lantas meminta saya melakukan ujian saringan kesihatan kerana dikhuatiri menghidap kanser.
“Alhamdulillah semuanya normal kecuali paru-paru saya yang tidak sempurna,” jelasnya.
Dalam masa sama, Maria bersyukur kerana tidak diuji penyakit tiga serangkai yang banyak dialami masyarakat Malaysia khususnya yang berusia 60 tahun ke atas.
Bercakap mengenai rahsia kecantikan di usia 68 tahun, Maria mengakui hati yang tenang di samping perasaan yang sentiasa gembira menjadi asbab kepada perkara itu.
“Daripada segi pemakanan, saya tiada pantang larang. Cuma selepas mengalami sakit tempoh hari, saya tidak dibenarkan makan makanan yang pedas. Namun makanan manis seperti pencuci mulut tetap diambil dalam kuantiti terkawal,” ujarnya lagi.
The post Berlakon fun fair bayaran RM450 – Maria Arshad appeared first on Utusan Malaysia.












