Auto Added by WPeMatico

“SAYA seorang melankolik, lagu-lagu saya banyak mencerminkan personaliti diri.”
Demikian kata penyanyi, Syiqin Azln, 28, menceritakan perjalanan seninya sebagai penyanyi dan komposer sepanjang empat tahun bergerak secara independen.
Bermula dengan menyanyikan lagu bahasa Inggeris menerusi Cruel dan Safe House yang diinspirasikan daripada penyanyi antarabangsa, Billie Eilish, Syikin mengubah selera menghasilkan lagu bahasa Melayu pertamanya, Pelangi Kembali yang melayakkan dia membolos separuh akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2022.
Selepas tercalon ALI 2022, keberadaan Syiqin dalam lapangan muzik independen semakin kukuh. Walaupun dilihat lebih berani bereksperimen dengan genre muzik, bahasa dan rakan kolaborasi berbeza, namun kesemua lagunya terikat dengan tema serupa iaitu kesedihan.
Gadis asal Ipoh, Perak itu mengolah rasa pilu, selamat tinggal dan merelakan harapan baik dalam mini album Selamat Pulang hingga Diam Seribu Bahasa.
“Saya fikir, saya memang penyedih walau jarang menangis. Semua perasaan itu saya terjemah menerusi muzik. Contohnya, saya tulis tentang orang yang datang dan pergi dalam Secukupnya kerana saya pernah berada di fasa mahu simpan semua orang dalam hidup.
“Sampaikan saya kena palsukan diri supaya semua orang kekal bersama saya. Tapi perkara itu memenatkan. Orang yang tepat akan terima saya seadanya. Saya banyak merenung tentang hidup dan buat refleksi perjalanan saya sebagai manusia. Perkara-perkara inilah banyak memenuhi ruang fikiran saya. Muzik yang saya hasilkan juga adalah dengan niat bahawa orang yang dengar tidak rasa mereka berseorangan semasa tengah sedih,” katanya ketika ditemui di Reda Coffee, Kedai KL, baru-baru ini.

Jika melihat diskrografi Syiqin yang meriah berbaur genre R&B, Folk, Pop dan Jazz, dia bagaimanapun menjelaskan semuanya terjadi spontan tanpa perancangan khusus.
Hi Hi Bye Bye menjadi lagu pertama Syiqin bermain dengan Jazz dan mood ceria keluar daripada kesuraman dalam karyanya sebelum ini.
“Penerbit muzik yang juga kawan saya, Iman suatu hari cadangkan agar kami cuba bekerja sekali buat pertama kali. Masing-masing pun ada masalah keyakinan diri, maklumlah industri ini dipenuhi orang kreatif yang selalu buat kami rasa karya tidak cukup bagus.
“Iman orang yang suka buat lawak ala P.Ramlee, dinamik persahabatan kamilah yang membuatkan kami buat lagu bunyi klasik dan Jazz dalam Hi Hi Bye Bye.
“Lagu ini dibuat dalam sesi ‘jamming’, dan siap sepenuhnya setahun lalu. Saya peram kerana menjadi artis independen perlu usaha dapatkan dana. Bila sudah dapat dana barulah usahakan buat video muzik dan terbitkan untuk khalayak dengar,” katanya.

Bukan plagiat Sal Priadi
Kurang sebulan Hi Hi Bye Bye diterbitkan, Syiqin berdepan tuduhan ciplak apabila bahagian korus lagu tersebut menyerupai Yasudah, ciptaan penyanyi popular Indonesia, Sal Priadi.
Menjawab dakwaan itu, Syiqin menegaskan dia mempunyai bukti rakaman bahawa Hi Hi Bye Bye dibuat daripada humming sebelum menjadi lagu penuh.
“Saya terkejut sebab tidak pernah dengar Yasudah. Saya tahu Sal Priadi, tapi hanya lagunya yang mainstream. Yasudah adalah salah satu trek dalam album, bukan yang sering dimainkan.
“Melodi yang dikatakan sama itu juga Sal guna di depan lagu, saya di korus. Jika dengar keseluruhan susun muziknya sangat berbeza.
“Kami ada rakaman proses tersebut semuanya bermula dari kosong. Iman sendiri bukan pendengar tegar Sal Priadi. Dalam fikiran, inspirasi kami adalah lagu klasik ala P.Ramlee dan Galok Raya, The Impatient Sisters,” katanya.
Sebagai seorang pemuzik, Syiqin tidak menafikan rasa terkilan apabila etikanya dipersoalkan. Namun enggan membiarkan spekulasi ini mematahkan semangat.
“Sejujurnya saya rasa terganggu sebab saya sangat mementingkan etika. Saya takkan sengaja tiru idea orang. Tapi dalam muzik zaman sekarang, hampir mustahil untuk sesuatu itu menjadi 100 peratus asli.
“Pioneer muzik sudah lama wujud. Malah artis antarabangsa seperti The Weeknd pun banyak dipengaruhi oleh Michael Jackson.
“Memandangkan Hi Hi Bye Bye menggunakan kord jazz yang standard, kecenderungan untuk kedengaran serupa dengan lagu lain dalam genre yang sama memang akan berlaku,” katanya.
The post Eksperimentasi, persepsi muzik – Shiqin Azln appeared first on Utusan Malaysia.
