Auto Added by WPeMatico

![]()
MACHANG – Seorang penjual minyak wangi didenda RM5,000 dan penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah untuk membakar rumah selepas isterinya keluar tanpa izin apabila berlaku perbalahan berkaitan kegagalan lelaki itu menunaikan nafkah sewa rumah pada minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Shahril Mat Sali, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah kepada seorang wanita berusia 35 tahun dengan menyatakan bahawa jika melakukan perkara yang sama lagi iaitu keluar dari rumah tanpa izinnya, tertuduh akan membuang barang-barang rumah dan membakar rumah dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kegentaran terhadap mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bandar, Pulai Chondong di sini kira-kira pukul 2 pagi pada 11 September 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd. Amran manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliyana Othman.
Terdahulu, Ahmad Hazim mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil pertimbangan bahawa tertuduh dan mangsa mempunyai perhubungan suami isteri.
“Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa trauma dan seorang suami sepatutnya menjadi tempat selamat dan pelindung kepada isteri. Bukannya menyebabkan isteri risau akibat perbuatan yang menakutkan,” katanya.
Norfaraliyana dalam rayuannya memohon denda yang minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dengan kesalahan itu dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
“Tertuduh bekerja sebagai penjual minyak wangi dengan pendapatan kira-kira RM800 hingga RM1,000 sebulan. Tertuduh juga menanggung isteri bersama dua anak dan pengakuan salahnya menjimatkan masa dan kos semua pihak,” ujarnya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh tidak membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Berdasarkan penyataan impak mangsa yang dibacakan di dalam mahkamah, tertuduh mengancam untuk membuang barang-barang rumah dan membakar rumah sewa yang mangsa sendiri membayar depositnya.
Mangsa benar-benar takut bahawa ancaman tersebut akan berlaku, khususnya apabila dia sekali lagi keluar menziarahi ibu bapanya.
Kebimbangannya menjadi lebih nyata kerana tertuduh juga kerap menyalakan api di sekitar rumah dan mangsa pernah melihat suaminya menunjukkan keseronokan apabila melihat api menyala. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki didenda RM5,000, penjara 9 bulan ugut bakar rumah lepas bergaduh dengan isteri appeared first on Kosmo Online.
