Auto Added by WPeMatico

IMPIAN setiap bakal ibu adalah melalui fasa kehamilan dengan selamat, selain memastikan bayi yang bakal lahir dilindungi daripada sebarang jangkitan penyakit berjangkit berbahaya.
Perjalanan kehamilan ini memerlukan persediaan rapi dari segi fizikal, mental dan pengetahuan perubatan bagi menghadapi detik kelahiran yang kian hampir.
Oleh itu, persediaan dari segi imunisasi maternal menjadi aspek amat kritikal yang tidak wajar diabaikan oleh para ibu apabila menjelang fasa trimester ketiga kehamilan.
Langkah pencegahan seawal peringkat kandungan mampu memberikan perlindungan awal antibodi yang sangat diperlukan oleh bayi sebaik sahaja dilahirkan.
Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pantai Hospital Ampang, Dr. Haslinda Mohd Daud, terdapat tiga jenis imunisasi utama yang amat disarankan kepada ibu hamil iaitu vaksin Tetanus, Difteria dan Pertusis (Tdap) serta Influenza dan Respiratory Syncytial Virus (RSV).
“Bagi ibu mengandung, kita mesti pastikan mereka dilindungi bersama anak-anak atau bayi supaya tidak terkena jangkitan virus ini.
“Sebab kalau kita tak dapatkan vaksin, penyakit seperti RSV boleh menyebabkan radang paru-paru (viral pneumonia) yang teruk kepada bayi,” ujarnya.
Katanya, ancaman jangkitan pernafasan itu merupakan antara risiko kesihatan utama yang kerap menjejaskan saluran pernafasan bayi baharu lahir.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai ketiga-tiga imunisasi berkenaan, vaksin Tdap merupakan imunisasi wajib yang biasanya diberikan di klinik kesihatan awam untuk membina antibodi awal kepada bayi sejak dalam kandungan lagi.
Dr. Haslinda berkata, pemberian suntikan ini secara tidak langsung dapat membantu memberi perlindungan kepada bayi pada bulan-bulan awal kelahiran sebelum bayi layak menerima suntikan imunisasi sendiri.
Selain Tdap, suntikan vaksin influenza tahunan juga amat disarankan kepada ibu mengandung.

“Suntikan vaksin influenza ini perlu diambil secara berkala iaitu setiap tahun bagi mengelak risiko jangkitan virus pernafasan daripada merebak dalam kalangan ahli keluarga.
“Apabila seseorang ahli keluarga di rumah dijangkiti virus berkenaan, ia berpotensi besar untuk merebak dengan pantas kepada bayi baharu lahir yang masih belum mempunyai sistem imuniti badan kukuh,” katanya ketika ceramah dalam Kelas Antenatal di Pantai Hospital Ampang, Selangor baru-baru ini.
Hakikatnya, pengambilan vaksin oleh ibu hamil berfungsi sebagai benteng perlindungan awal kepada keseluruhan ahli keluarga daripada dijangkiti.
Sementara itu, jenis imunisasi ketiga ditekankan oleh Dr. Haslinda adalah vaksin RSV yang disarankan untuk diambil sewaktu usia kandungan mencecah antara minggu ke-32 hingga ke-36 kehamilan.
“Ini kerana, jangkitan virus pernafasan seperti RSV amat sukar dirawat sebab tiada ubat khas atau spesifik untuk membunuh virus berkenaan.
“Ia berbeza dengan jangkitan bakteria yang boleh dirawat menggunakan ubat antibiotik.
“Kebanyakan kes jangkitan virus pernafasan pada bayi hanya bergantung kepada rawatan sokongan (supportive treatment) di wad,” katanya.
Beliau menambah, dalam keadaan kritikal, bayi yang dijangkiti berisiko mengalami komplikasi pernafasan serius sehingga memerlukan bantuan mesin pernafasan (ventilation) di unit rawatan rapi (ICU).
Dalam pada itu, Dr. Haslinda mengakui, antara kekangan utama bagi pengambilan vaksin RSV dalam kalangan masyarakat hari ini adalah faktor harga suntikan tersebut.
Walaupun kos vaksin RSV di sektor swasta agak tinggi iaitu sekitar RM900 hingga RM1,000 bagi satu suntikan, langkah pencegahan awal adalah jauh lebih bernilai demi keselamatan bayi.
Bagi mengurangkan beban kewangan pesakit, sesetengah hospital swasta kini menyediakan dan menawarkan pakej khas imunisasi maternal yang merangkumi ketiga-tiga jenis vaksin tersebut pada harga lebih berpatutan.
Sehubungan itu, kesedaran mengenai imunisasi maternal dalam kalangan ibu hamil perlu ditingkatkan.
Langkah itu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan bayi sentiasa terjamin daripada sebarang ancaman komplikasi jangkitan virus.
The post Imunisasi ibu hamil bantu lindungi bayi daripada virus appeared first on Kosmo Digital.
