Auto Added by WPeMatico
Siti Nurhaliza kemalangan, kaki bengkak, lebam

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terlibat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan empat kenderaan di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) sebentar tadi.
Menurut pengurusnya, Rozi Sangdewi, insiden tersebut berlaku ketika Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, dalam perjalanan pulang selepas selesai mengadakan persembahan.
“Ramai menghubungi kami bertanya tentang Siti Nurhaliza. Kami dua kereta baru selesai mengadakan persembahan di RedQ AirAsia Sepang dan sewaktu melalui lebuh raya MEX (KM14.2), berlaku kemalangan.
“Empat kereta terlibat termasuk kereta dinaiki Siti dan saya serta Fairuz berada berjarak beberapa kereta di belakang,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Katanya lagi, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu sudah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut berikutan mengalami kecederaan ringan.
“Kami membawa Siti keluar dari kereta yang kemalangan dan masuk ke dalam kereta kami.
Siti telah ke hospital, mengalami lebam dan bengkak bahagian kaki.
“Alhamdulillah, segalanya selamat dan terima kasih di atas doa semua,” katanya lagi. – HIBGLAM
