
![]()
KUALA LUMPUR – Tidak ada lagi kelibat pemain Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Macau selepas lima wakil negara tersingkir di pusingan separuh akhir hari ini.
Pada aksi di Macau East Asian Games Dome, beregu wanita, Carmen Ting-Ong Xin Yee yang turun sebagai pilihan kedua gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 18-21, 13-21 kepada Bao Li Jing-Cao Zi Han dari China.
Walaupun bermula garang di set pertama dengan memberikan tentangan sengit, namun pasangan No.23 dunia itu terpaksa akur tewas 18-21 sehingga menjejaskan rentak permainan di set kedua.
Memasuki set kedua, beregu China menguasai sebahagian besar permainan dan menang 21-13 biarpun Carmen-Xin Yee ada melakukan kebangkitan pada pertengahan permainan apabila berjaya menyamakan kedudukan 11-11.
Sementara itu, gandingan beregu campuran profesional, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing juga terpaksa ‘berputih mata’ apabila tewas 11-21, 22-24 kepada pasangan No.2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Dua beregu lelaki profesional, Chia Wei Jie-Teo Ee Yie dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong turut ditunjukkan jalan keluar apabila tewas kepada lawan masing-masing.
Dalam pada itu, perseorangan lelaki, Eogene Ewe yang membenam pemain Singapura, Jason Teh di suku akhir semalam terpaksa menamatkan cabaran selepas tewas 15-21, 18-21 kepada Hu Zhe An dari China. – KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Macau: Lima wakil negara kandas di separuh akhir appeared first on Kosmo Digital.

