Auto Added by WPeMatico

![]()
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga China dihukum penjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta melawan arus sehingga mengakibatkan kemalangan pada Ahad lalu.
Tertuduh, Lu Xun, 55, yang juga pengusaha kilang plastik turut hilang kelayakan memandu selama dua tahun serta berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut. Dia membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.
Lu Xun yang telah lebih 30 tahun menetap di negara ini didakwa memandu kenderaan secara berbahaya kepada orang awam dengan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kenderaan lain di Jalan Lencongan Barat, di sini kira-kira pukul 9.20 malam, 26 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM15,000, penjara sehingga lima tahun serta hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya dua tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Mohd. Noor, manakala tertuduh diwakili peguam, Chong Seng Ming.
Semasa prosiding, pihak pembelaan memohon hukuman denda minimum atas alasan tertuduh telah mengaku bersalah serta memohon maaf kepada mahkamah, polis dan pemilik kenderaan yang terlibat.
Menurut peguam, pemandu dan penumpang kenderaan yang terlibat tidak mengalami kecederaan dan tertuduh berjanji menanggung sepenuhnya kos pembaikan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana perbuatan memandu melawan arus boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Terdahulu, tertuduh yang berkerusi roda dilihat berada dalam keadaan fizikal dan emosi tidak stabil akibat menghidap diabetes serta beberapa kali ditenangkan oleh anak perempuannya yang turut hadir di mahkamah.
Sebelum ini, media melaporkan tertuduh mencetuskan kekecohan apabila memandu kereta jenis Perodua Myvi melawan arus sejauh kira-kira 500 meter sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga BLM yang dipandu lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tertuduh dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE
The post Padah lawan arus, warga China dipenjara sehari, denda RM10,000 appeared first on Kosmo Digital.

