Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Seorang pegawai tentera yang ditahan sebelum ini selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuh Raya Maju (MEX), disambung reman hingga Khamis ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, setakat ini, seramai 12 orang saksi telah diambil keterangan.
“Kertas siasatan masih belum lengkap dan akan dirujuk pada esok pagi bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mahkamah membenarkan suspek direman selama lima hari sehingga semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 23 April lalu, suspek yang memandu sebuah Ford Fiesta dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Alza yang beroperasi sebagai kenderaan e-hailing.
Kejadian kira-kira pukul 5.38 pagi itu berlaku di Kilometer 1.9 lebuh raya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.
Kemalangan itu mengorbankan seorang lelaki pencipta kandungan terkenal warga Bangladesh berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi penumpang wanita warga Bangladesh berusia 20 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Turut cedera ialah pemandu e-hailing yang mengalami kecederaan di kepala serta seorang penumpang wanita berusia 36 tahun dalam Ford Fiesta berkenaan.
Siasatan awal mendapati kenderaan e-hailing itu membawa dua penumpang warga Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika kejadian berlaku.
Hasil ujian pernafasan terhadap suspek menunjukkan bacaan alkohol melebihi had dibenarkan, manakala ujian air kencing didapati negatif dadah. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai tentera mabuk rempuh e-hailing disambung reman hingga Khamis appeared first on Kosmo Digital.
